28 Ogos 2012

Muka selamba buat maksiat

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUANTAN – “Mereka seolah-olah sudah biasa melakukan perbuatan terkutuk itu hinggakan berani keluar-masuk ke hotel bajet dengan muka tidak bersalah,” kata Mamat Ibrahim, 60, pemandu teksi di Jalan Pasar, di sini.

Katanya, lebih memalukan, kebanyakan pelanggan yang mendaftar masuk ke hotel berdekatan kawasan itu adalah golongan remaja Islam.

“Saya sendiri tidak pasti sama ada mereka orang sini atau orang luar. Tapi kebiasaannya jika ada sambutan atau program besar di sini, biasanya orang luar yang ramai datang menginap di hotel bajet ini.

“Bagaimanapun, saya tidak menafikan ada di antara mereka yang tinggal di Kuantan, tetapi sanggup mengeluarkan duit untuk bermalam dengan kekasih masing-masing,” katanya ketika ditemui semalam.

Mamat berkata, kebiasaannya mereka akan mula mendaftar masuk sekitar jam 6.30 petang sehingga lewat malam.

“Mereka daftar masuk tak tentu masa. Kadangkala saya sendiri tak sedar bila mereka masuk, tahu-tahu sahaja sudah keluar keesokan harinya.

“Yang peliknya, mereka sedikit pun tidak ambil peduli dengan pandangan masyarakat, sebaliknya bangga dengan apa yang mereka lakukan. Bag imereka, orang ramai tidak berhak untuk menegur perbuatan mereka. Sebab itulah mereka berani buat apa sahaja,” katanya.

Tambahnya, selepas menunaikan ‘hajat’ masing-masing, ada di antara remaja terbabit menaiki teksinya untuk pulang ke rumah.

“Kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman Kuantan. Bila ditanya, mereka jawab terpaksa bermalam di hotel murah kerana hari sudah lewat malam serta tiada kenderaan,” katanya.

Dia yang lebih 20 tahun memandu teksi berkata, kawasan itu bukan hanya menjadi tumpuan remaja ketika sambutan hari kemerdekaan atau Tahun Baru, tetapi menjadi tempat persinggahan setiap malam minggu.

“Faham-faham sahajalah, jika tiada acara besar di sini pun sudah ramai yang datang, bila tiba hari kemerdekaan, lagilah berebut bilik. Pendek kata, siapa yang lambat mendaftar masuk, tiadalah peluang untuk melampiaskan nafsu.

“Tauke hotel bertambah kaya, mereka pula tambah dosa,” katanya.

Manakala, bagi peniaga tudung dan pakaian muslimah, Zainon Mamat, 28, kadangkala golongan ini mendaftar masuk sekitar jam 9 pagi.

“Mereka memang bijak, seolah-olah sudah tahu waktu operasi Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) hinggakan ada yang terlepas daripada ditahan pihak berkuasa.

“Saya memang tidak berani tegur jika nampak ada pasangan yang mencurigakan masuk ke dalam hotel kawasan ini. Saya bimbang, jika ditegur mereka akan buat perkara yang tidak diingini.

“Golongan seperti ini sanggup buat apa sahaja asalkan dapat melepaskan diri. Justeru, jika saya nampak sesuatu yang mencurigakan, saya akan segera menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, perbuatan ini memang sukar dibendung jika ada pihak yang tidak memberikan kerjasama terutama pemilik hotel murah.

“Jika mereka tegas serta tidak berkompromi, kemungkinan aktiviti maksiat ini dapat dikurangkan. Namun, pemilik hotel murah lebih kepada mengejar keuntungan, mereka tidak peduli sama ada pelanggan itu muhrim atau tidak,” katanya.

Ambil tindakan tegas

Sementara itu, bagi Madri Mohd, 61, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap remaja yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu bagi mengelakkan ia terus berleluasa.

“Saya tidak pasti sejauh mana keberkesanan operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa kerana semakin hari saya lihat aktiviti ini semakin rancak seolah-olah mereka tidak takut dengan pelaksanaan undang-undang yang ditetapkan.

“Mungkin kerana mereka sudah dapat membaca pergerakan pihak berkuasa, sebab itulah masing-masing berani mengusung teman wanita naik ke bilik,” katanya.

Lebih menyedihkan, dia pernah melihat teman wanita yang mendaftar masuk manakala yang lelaki menunggu di bawah.

“Saya faham, pihak berkuasa tidak mampu untuk menempatkan pegawai mereka 24 jam di hotel-hotel murah, namun saya harap mereka dapat mempertingkatkan operasi bagi mengurangkan
aktiviti tidak bermoral ini.

“Saya bimbang, jika ia tidak dibendung, masalah pembuangan bayi akan meningkat serta merosakkan masa depan remaja itu sendiri. Kita memerlukan generasi muda untuk membangunkan negara, jika mereka sudah rosak, bagaimana pembangunan negara kita pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini Jaip memberi amaran supaya tidak mencemarkan sambutan ambang merdeka dengan melakukan maksiat dan perkara yang ditegah agama.

Jaip juga tidak akan berkompromi dengan golongan itu yang jelas menyalah ertikan sambutan kemerdekaan dengan melakukan perkara tidak senonoh sehingga melanggar hukum syarak.

kosmo/-

Tiada ulasan: