28 Ogos 2012

Kebakaran Loji Minyak Venezuela Merebak

10 Syawal 1433H. [MOD] -

CARACAS: Kebakaran di loji utama penapisan minyak Venezuela yang sudah mengorbankan 48 nyawa, kini dilaporkan merebak ke tangki simpanan ketiga, sekali gus menyukarkan lagi operasi anggota bomba.

Presiden Venezuela, Hugo Chavez yang mengisytiharkan tiga hari berkabung berikutan tragedi itu, memberi jaminan siasatan menyeluruh dijalankan ke atas loji penapis Amuay yang dipercayai akibat kebocoran gas.

Gebenor Negeri Falcon, Stella Lugo, pula memberitahu stesen radio tempatan bahawa angka kematian kini meningkat daripada 41 kepada 48 orang.

“Kami mesti memberitahu bahawa tangki ketiga kini terbakar," kata Menteri Tenaga dan Minyak Venezuela, Rafael Ramirez, yang juga Pengerusi firma minyak negara, Petroleos de Venezuela (PDVSA) yang mengendalikan loji berkenaan di Semenanjung Paraguana.

Ramirez berkata, pasukan bomba kini berusaha untuk mengawal dan mengepung api daripada terus merebak ke tangki simpanan lain. AFP

Tiada ulasan: