10 Syawal 1433H. [MOD] -
MUAR – Pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berjaya merampas sejumlah 15,500 unit rokok bernilai RM1.4 juta termasuk cukai, dalam operasi bersepadu di Bypass Simpang Empat Jalan Bakri arah Melaka, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, kesemua rokok putih itu dipaketkan ke dalam kotak besar dalam sebuah lori seberat tiga tan.
Menurutnya, penahanan pada jam 2 pagi itu turut menahan seorang pemandu lori berkenaan yang berusia 30 tahun.
“Suspek berasal dari Alor Setar, Kedah dan difahamkan baru sahaja terlibat dalam kegiatan tersebut.
“Rokok ini diambil dari Ayer Hitam, Batu Pahat dan dipercayai dalam perjalanan untuk dihantar ke Melaka,” katanya dalam sidang media di IPD Muar di sini, semalam.
Sahadan berkata, malangnya usaha lelaki berkenaan tidak berjaya apabila dia ditahan kerana membawa lori dalam keadaan mencurigakan.
“Sebaik ditahan, polis membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap lori ini dan menjumpai 15,500 unit rokok.
“Hasil soal siasat mendapati, lelaki ini ditawarkan upah sebanyak RM200 sebagai penghantar rokok selepas berjumpa dengan seorang rakan di Singapura yang menawarkan pekerjaan itu,” katanya.
Katanya lagi, suspek kemudiannya dibawa ke IPD Muar dan ditahan reman sehingga 29 Ogos depan untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1976, jika sabit kesalahan boleh didenda RM1.55 juta (10 kali nilai rokok dirampas),” katanya.
Mengulas lanjut mengenai Kempen Rumah Selamat sempena Aidilfitri, Sahadan berkata, secara keseluruhannya kempen itu berjaya apabila sebanyak 70 buah rumah yang mendaftar dalam program itu didapati selamat daripada sebarang kegiatan jenayah.
“Anggota kami kerap membuat rondaan di setiap rumah yang mendaftar untuk tujuan pengawasan sepanjang pemilik rumah pulang bercuti ke kampung halaman.
“Kita mendapat respons positif dari pemilik rumah memaklumkan rumah mereka selamat selepas kembali pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan