28 Ogos 2012

Risalah ah long dirampas

10 Syawal 1433H. [MOD] -

BUKIT BERUANG – Sebanyak 3,000 risalah iklan pinjaman tidak berlesen, bernilai hampir RM30,000 dirampas polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri.

Ketua JSJK negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, rampasan berkenaan hasil serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Bachang Baru pada Jumaat lalu, jam 5.30 petang.

Menurutnya, dua lelaki berusia 24 dan 35 tahun, masing-masing berasal dari Batu Gajah, Perak dan Muar ketika itu sedang bersiap untuk melakukan kutipan wang ditahan sebaik sahaja memasuki kediaman yang dikawal rapi oleh pengawal keselamatan.

“Kita berjaya merampas komputer, buku catatan pinjaman dan cek bernilai RM28,000 berserta telefon bimbit.

“Kita percaya rumah ini dijadikan stor untuk menyimpan poster ah long dan akan ditampal pada tengah malam," katanya.

Hock Sing berkata, tangkapan itu sekali gus menyelesaikan satu kumpulan kecil ah long yang giat melakukan aktiviti di Melaka.

"Usaha membasmi kegiatan pinjaman tidak berlesen ini akan diteruskan bagi memastikan ia tidak berleluasa," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberian Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM20,000.

Sebelum ini, kumpulan berkenaan menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang bermula RM1,000 sehingga RM10,000.

JSJK turut merekodkan sebanyak 47 serbuan dan 11 tangkapan melibatkan usia antara 20 hingga 40 tahun bermula Januari hingga Ogos lalu berkaitan kegiatan berkenaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: