10 Syawal 1433H. [MOD] -
TANAH MERAH – Dua beradik antara yang ditahan ketika pemeriksaan jalan Ops Bersepadu yang berjaya merampas 1,292 pil kuda dalam dua tangkapan berasingan dekat Jalan Taman Hiburan, awal pagi semalam.
Dalam tangkapan jam 2.50 dan 5.15 pagi itu, polis berjaya mematahkan sindiket penjualan dadah sekitar daerah Tanah Merah, Jeli serta Kuala Lipis dengan nilai keseluruhan dadah dan wang tunai yang dirampas berjumlah RM33,000.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, bagi kes pertama bermula polis menahan sebuah kereta Satria yang dinaiki tiga lelaki.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas tubuh badan salah seorang suspek, polis menemui dua biji pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda dalam poket yang diletakkan dalam kotak rokok.
“Dalam kenderaan tersebut juga, polis turut menjumpai satu beg silang berwarna coklat yang diletakan dalam ‘dashboard’ depan penumpang hadapan.
“Ia membawa kepada penemuan enam paket plastik warna biru mengandungi 992 biji pil kuda serta satu plastik lutsinar berisi daun kering yang disyaki dadah jenis ganja dan wang tunai RM4,450,” katanya kepada pemberita dekat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, semalam.
Abdul Aziz berkata, suspek yang berumur 23, 31 dan 32 tahun yang beralamat di Tanah Merah itu, ditahan reman tujuh hari bermula semalam, di mana kes disiasat di bawah Sekyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 untuk pil kuda dan bagi ganja di bawah Seksyen 6 1952 di mana anggaran nilai rampasan RM24,750.
Bagi kes kedua, dua beradik yang berasal dari Sungai Temau, Kuala Lipis, Pahang berjaya ditahan dil okasi yang sama ekoran memandu Proton Putra dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, 300 pil kuda yang disorok dalam beg silang di bawah tempat duduk pemandu berjaya dijumpai.
“Turut ditemui satu botol plastik mengandungi serbuk putih disyaki ganja serta wang tunai RM1,760.
“Kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 32 tahun itu, kini ditahan dan siasat di bawah 39A (2) ADB 1952 di mana nilai rampasan berjumlah RM8,300,” katanya.
Abdul Aziz berkata, polis turut menyita dua kereta tersebut, wang tunai dan telefon bimbit dan siasat bawah seksyen Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) ADB 1988 A.
Sementara itu, ujian saringan air kencing mendapati suspek kes pertama kesemuanya positif Methamphetamine dan suspek kes kedua juga positif dadah jenis sama dan Opiate.
“Urusan pembelian dadah tersebut dilakukan dekat Bandar Pasir Mas dipercayai dalang utamanya adalah lelaki tempatan.
“Hasil siasatan awal ke atas dua beradik itu, mendapati mereka sudah tiga kali membeli barangan terlarang itu di negeri ini dan tiada rekod polis sebelum ini, namun bagi ketiga-ketiga suspek kes pertama pernah ditahan atas kesalahan dadah hujung 2011 yang lalu,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya akan teruskan operasi sekatan jalan Ops Bersepadu untuk membanteras kesalah trafik, dadah walaupun kadar jenayah terkawal.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan