ISTANBUL - Pihak penentang Syria semalam menafikan tuduhan pemerintah bahawa mereka menggunakan senjata kimia.
Tentera Pembebasan Syria (FSA) itu sebaliknya menyalahkan rejim
Presiden Bashar Al-Assad berhubung serangan roket yang menyebabkan orang
awam mengalami masalah pernafasan.
"Kami difahamkan tentera menyerang kawasan Khan Al-Assal di bandar
Aleppo menggunakan peluru berpandu jarak jauh dan maklumat awal kami
mendapati ia ialah senjata kimia," kata jurucakap FSA, Louay Muqdad.
"Banyak nyawa terkorban dan ramai yang cedera pula sukar bernafas," katanya di Istanbul.
Beliau menafikan dakwaan oleh agensi berita SANA bahawa FSA melancarkan beberapa roket mengandungi senjata kimia ke arah Khan Al-Assal yang meragut 15 nyawa.
"Kami tiada peluru berpandu jarak jauh atau senjata kimia dan jika
ada pun, kami tidak akan membedil kumpulan kami sendiri," katanya.
Beberapa penganalisis tentera menyatakan, stok senjata kimia Syria adalah yang terbesar di rantau Asia Barat.
Lebih 70,000 orang terbunuh sejak penduduk bangkit menentang
pemerintahan rejim Bashar pada Mac 2011 kerana menuntut demokrasi dan
kebebasan bersuara. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan