20 Mac 2013

2 sahabat karib cemerlang STPM

stpm8 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Fauziah (kiri) dan Noor Azilah menunjukkan slip keputusan peperiksaan STPM mereka di Sekolah Menengah SMK Desa Kencana. 
 
LAHAD DATU - “Saya tidak pernah mengikuti kelas tuisyen seperti rakan-rakan lain kerana ayah tidak mampu,” kata seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari gugusan Felda Sahabat, di sini.

Fauziah Laiman, 20, berkata kesempitan hidup keluarganya bukan penghalang baginya untuk berusaha bersungguh-sungguh dan bukan alasan untuk tidak mencapai keputusan cemerlang.

“Saya tekad membantu keluarga saya supaya mereka dapat hidup lebih selesa,” kata anak keempat daripada enam beradik yang bercita-cita menjadi pendidik itu. 

Fauziah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana, di sini memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 iaitu 3A dan 1B.

Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana ialah satu-satunya sekolah  menengah di gugusan Felda Sahabat dan sekolah yang ditutup pada 1 Mac berikutan krisis pencerobohan di Kampung Tanduo itu, dibuka semula 11 Mac.
Sekolah itu mempunyai 50 calon STPM dan enam daripada mereka berjaya mencatat keputusan cemerlang.

Fauziah berkata bagi mencapai cita-citanya, dia sentiasa memastikan masa yang terluang terutama selepas tamat sesi persekolahan dimanfaatkan dengan mengulang kaji pelajaran, selain melakukan solat Hajat.

“Keputusan ini ialah hadiah istimewa untuk ibu bapa saya. Saya bercadang melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) atau  Universiti Malaysia Sabah,” katanya yang berasal dari Felda Sahabat 3.

Seorang lagi pelajar sekolah itu, Noor Azilah Amit, 20, berkata keputusan cemerlang itu diperoleh hasil kerja kerasnya yang belajar hingga jam 2 pagi setiap hari.

“Kalau ikut keputusan percubaan, memang saya tidak puas hati. Saya terpaksa berusaha lebih untuk membolehkan saya menjadi pelajar cemerlang.

“Penat memang penat apabila belajar  hingga dua pagi dan esoknya terpaksa menghadiri persekolahan seperti biasa, tetapi saya telah berazam mahu mengubah kehidupan keluarga saya,” kata rakan karib Fauziah itu.
Noor Azilah, dari Felda Sahabat 5, memperoleh PNGK 3.50 (3A, 1C) dan dia yang juga bercita-cita menjadi guru, berhasrat menyambung pelajaran ke Upsi atau Universiti Kebangsaan Malaysia. - Bernama

Tiada ulasan: