8 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
SHAH ALAM - “Saya sangat sedih Alisa boleh pergi dulu (meninggal dunia), bagi kami dia seorang yang baik, tapi ALLAH lebih menyayanginya. kami reda,” kata Izza Nuriha Mat Dadri, 15, teman rapat Nur Alisa Balqis Mohd Zakir,15, yang lemas dihanyutkan arus deras Sungai Klang, Padang Jawa, dekat sini, Ahad lalu.
Menurut Izza, sebelum pulang dari sekolah Jumaat lalu, Alisa secara tiba-tiba meminta maaf dari semua rakan sekelasnya.
“Arwah juga jadi seorang yang amat pendiam, berbeza dengan sikapnya yang periang sewaktu di dalam kelas.
“Kami perasan arwah agak sugul dan hanya tersenyum sahaja setiap kali kami menyakatnya,” katanya kepada Sinar Harian selepas selepas selesai pengebumian jenazah arwah Nur Alisa di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, semalam.
Bapa mangsa Mohd Zakir Hussin, 40, bagaimanapun enggan ditemuramah kerana terlalu sedih dengan kejadian yang berlaku.
Mayat Nur Alisa yang juga pengawas sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16, ditemui jam 6.45 petang kelmarin, dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan jatuh selepas gerakan mencari giat dijalankan pasukan bomba sejak petang Ahad lalu.
Terdahulu, Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan bahawa terdapat empat remaja terjatuh ke dalam longkang kira-kira jam 4 petang sewaktu hujan lebat.
Tiga rakan arwah, Zailani Mat Rahim, 12, Mohd Nasrudin Abdul Aziz, 16, sempat berenang menyelamat diri, manakala Siti Norshafikah Azman, 13, ditemui kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.
Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Seksyen 16, Mustafa Kamal Mohamad berkata, arwah dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengawas dengan baik malah antara pelajar harapan sekolah.
“Arwah amat disenangi oleh kebanyakan guru yang mengajarnya di sekolah,” katanya.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan