20 Mac 2013

Pengerang: Mahkamah tolak bantahan Peguam Negara

8 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Zaleha Yusuf hari ini membenarkan empat orang penduduk Pengerang untuk mencabar kesahan (legality)  projek Rapid Pengerang.

Hakim tersebut menolak bantahan Peguam Negara dan memberikan kebenaran penduduk Pengerang tersebut meneruskan semakan kehakiman mereka ke atas Kerajaan Negeri Johor dan 2 yang lain.

Pada pendengaran di kamar Hakim pagi ini, Peguam Negara telah membuat bantahan ke atas permohonan semakan kehakiman 4 penduduk tersebut atas dua alasan iaitu permohonan tersebut difailkan di luar masa dan permohonan itu bersifat remeh (frivolus) serta tidak bermerit.

Peguam  penduduk tersebut pula berhujah permohonan semakan kehakiman tersebut difailkan dalam masa yang ditetapkan kerana tarikh permohonan yang perlu difailkan dalam masa 3 bulan perlu dikira dari tarikh penduduk menerima notis pengambilan tanah mereka bukan dari tarikh di dalam Warta.

Peguam juga berhujah jika sekalipun ada kelewatan ianya bukan satu kelewatan melampau dan disengajakan kerana adalah tidak munasabah untuk orang kampung untuk tahu tentang tarikh warta Kerajaan.

Mengenai bantahan tentang dakwaan bahawa permohonan semakan kehakiman adalah remeh dan tidak bermerit, peguam berhujah bantahan itu yang sebenarnya remeh dan tidak bermerit.

Peguam berhujah, terdapat isu bermerit yang dibangkitkan oleh para penduduk iaitu isu ketidakpatuhan seksyen 3 (1) (b) Akta Pengambilan Tanah.

Ini kerana jika dilihat di dalam perisytiharan pengambilan tanah di dalam Warta bertarikh 18 Julai 2012 tidak dinyatakan secara jelas adakah pendapat Pihak Berkuasa Negeri iaitu Y.M Tuanku Sultan Johor telah diambil kira sebelum keputusan mengambil tanah orang kampung dibuat.

Peguam juga berhujah tidak dinyatakan secara jelas di dalam Warta  projek Rapid tersebut adalah bermanfaat untuk siapa sedangkan seksyen 3 (1) (b) memperuntukkan secara jelas pengambilan tanah di bawah seksyen tersebut mesti mengambil kira pendapat Sultan.

Ianya juga mestilah memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia atau orang awam atau mana mana kelas penduduk. Dalam warta tidak dinyatakan itu semua.

Peguam berhujah Mahkamah perlu bezakan pengambilan tanah di bawah seksyen 3 (1) (a) kerana di bawah seksyen tersebut isu keperluan mengambil kira pendapat Y.M Sultan Johor tidak diperlukan maka atas prinsip anggapan Parlimen tidak gubal undang-undang secara sia sia (the legislature does not legislate law in vain), Mahkamah perlu ambil perhatian penggunanaan perkataan yang berbeza antara seksyen 3 (1) (a) dan 3 (1) (b) Akta tersebut.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak Mahkamah memutuskan permohonan 4 penduduk tersebut bukan suatu yang remeh sebaliknya ianya bermerit dan Mahkamah juga putuskan jika pun ada kelewatan, Mahkamah telah guna budibicara melanjutkan masa untuk penduduk memfailkan permohonan tersebut di luar masa.

Mahkamah juga telah menetapkan tarikh 4 April ini untuk pengurusan kes tersebut.

Untuk rekod pada 9 Januari yang lalu 4 orang penduduk Pengerang iaitu Loh Back Seng, Lim Goo Kia, Khairiyah Md Yunus dan Sutinah bt Abu telah melalui peguam Mohamed Hanipa & Associates memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapat antara lain perintah certiorari bagi membatalkan keseluruhan projek Rapid di Pengerang tersebut.

Pada pendengaran pagi ini, 4 penduduk tersebut diwakiki oleh Encik Mohamed Hanipa Maidin bersama sama Encik Nasar Khan dan Azhana Mohd Khairudin manakala Peguam Negara diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Cik Kogilamabigai dan Kerajaan Negeri Johor pula diwakili oleh Tuan Sharizan Shaari.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: