8 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
Sebaik sampai ke pintu wad, jeritan Jalal menerpa ke telinga saya
Jeritannya sungguh kuat kerana azab dan sakit yang ditanggungnya tidak
mampu ditanggung lagi. Saya percepatkan langkah menuju ke katilnya. Di
sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang menangis tersedu-sedu.
Jelas mereka panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, kecuali
melihat Jalal menggelepar kesakitan dan berdoa semoga Jalal cepat
sembuh. Di katil pula, Jalal meraung dan meronta sambil tangan dan
kakinya terikat kemas di katil.
“Terima kasih ustaz sebab sudi datang bantu kami. Saya dah tak tahu
apa nak buat. Dah seminggu lebih adik saya macam ni,” kata salah seorang
abang kepada Jalal sebaik melihat saya sampai. Sebelum itu mereka
menghubungi saya melalui telefon meminta saya segera datang untuk
membantu menyembuhkan penyakit adik bongsu mereka itu.
“Apa sakitnya ni?” tanya saya. “Entahlah ustaz, doktor pun tak
tau.”Sedang kami berbual, tiba-tiba sekali lagi Jalal menjerit
kesakitan. Kali ini jeritannya cukup jelas di pendengaran saya.
Jeritannya menakutkan dan menyedihkan.
“Emak, ampunkan saya mak. Panaaaassss. Saya sakit mak,
sakiiiiittttttt! Tolonglah emak, ampunkan dosa saya.” Berserta raungan
yang dilepaskan sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar seperti dipanggang
di dalam api yang marak. Mukanya berkerut sementara matanya terbelalak
akibat azab yang amat pedih. Semua yang ada di wad berkenaan memandang
ke arah kami. Jeritan itu menyebabkan saya tertanya-tanya. Apakah yang
menyebabkan Jalal jadi sedemikian rupa? Apa pula kaitan antara
penyakitnya itu dengan ibunya? “Panggil ibunya segera,” kata saya. Namun
kata-kata saya itu tidak dijawab. Ahli keluarga Jalal cuma terdiam,
menundukkan muka atau berpandangan sesama sendiri.
“Kenapa ni?” tanya saya. Dengan perlahan abang Jalal bersuara,
“Ustaz, ibu kami baru sahaja meninggal dunia dua minggu lepas.” “Kalau
macam ini susahlah sikit. Saya rasa mungkin Jalal ada melakukan
kesalahan besar kepada ibunya, sebab itulah dia menanggung azab yang
begini rupa. Dalam keadaan macam ini, cuma ibunya saja yang dapat
membantu,” kata saya berterus terang.
Mereka cuma mendiam diri sementara jeritan Jalal semakin kuat. Saya
semakin ingin mengetahui puncanya kerana dengan latar belakang itu
insya-Allah saya boleh cuba carikan jalan lain untuk meredakan kesakitan
Jalal.”Ceritakanlah kepada saya apa yang sebenarnya telah berlaku.”
“Ustaz, sebenarnya adik saya ini sudah derhaka kepada arwah ibu kami,”
jawab salah seorang daripada mereka.
Dengan tenang, tapi air mata bergenang abang Jalal menceritakan
kepada saya kisah yang sebenarnya, kisah yang cukup menyayat hati saya.
Menurutnya, Jalal adalah anak bongsu daripada mereka enam beradik, empat
perempuan dua lelaki dan di kalangan mereka, Jalallah yang mempunyai
kelulusan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, sejak kecil hinggalah dia
bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa sahaja melawan dan
menyanggah kata-kata ibunya.
Nasihat dan teguran ibunya pula dipandang rendah serta tidak
diendahkan. Syurga anak di bawah telapak kaki ibunya. Walaupun
berpendidikan tinggi, Jalal sentiasa sahaja kekurangan wang, seolah-olah
tidak dirahmati rezekinya. Berterusanlah keadaan itu hingga dia
berumahtangga. Keadaan menjadi semakin buruk apabila Jalal meletakkan
jawatannya di sebuah syarikat swasta. Hasratnya adalah untuk mencari
rezeki yang lebih banyak disyarikat lain, namun nasibnya bukan sahaja
tidak berubah, malah menjadi semakin parah.
Walau di syarikat manapun yang Jalal bekerja, dia akan menghadapi
masalah yang seterusnya membawa kepada dia meletakkan jawatan. Dalam
kegawatan itulah Jalal mula meminjam wang daripada sahabat-sahabatnya.
Selepas sekian lama hutangnya semakin banyak, namun dia masih tidak
mampu melunaskannya. Rumahtangga Jalal mula kucar-kacir dan akhirnya
mereka bercerai. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Jalal mendesak
ibunya supaya mencagarkan tanah mereka di kampung kepada bank. Tanah
seluas 12 ekar itu ditinggalkan oleh bapa mereka yang meninggal dunia
tiga tahun sebelum itu.
“Emak, saya nak tanah tu. Bank dah setuju nak kasi RM500,000. Saya
nak duit tu buat berniaga,” katanya kasar. “Jalal, engkau ni dah
melampau. Itu tanah adik-beradik kamu,” jawab si ibu. “Ahhh, saya tak
kira.” “Jalal, emak tidak benarkan. Emak tau, duit tu nanti bukannya
engkau nak buat berniaga, tapi nak bayar hutang,” jawab ibunya.
Bukan sahaja ibunya, malah semua adik-beradik Jalal tidak
membenarkannya mencagarkan tanah tersebut kepada bank. Jalal pulang
dengan hati kecewa. Namun dia masih bertekad untuk mendapatkan tanah
berkenaan walau dengan apa cara sekalipun. Suatu hari, Jalal datang ke
rumah ibunya. Beberapa orang adik-beradiknya ada di situ. Sekali lagi
pertengkaran berlaku dan berakhir dengan tragedi yang amat menyedihkan.
Ketika kemarahannya sampai kemuncak, Jalal menolak ibunya sekuat-kuat
hati menyebabkan kepala ibunya terhantuk di pintu. Darah dari luka
terpalit di pintu sedang ibunya terjelopok di lantai, rebah tidak
sedarkan diri. Si ibu segera dibawa ke hospital sementara Jalal puas
hati kerana dapat melepaskan kemarahannya. Akibat pendarahan otak yang
serius, ibunya meninggal dunia tanpa sempat melafazkan keampunan kepada
Jalal. Bermulalah azab dalam hidup Jalal. Kira-kira seminggu selepas
kematian ibunya, Jalal dikejarkan ke hospital kerana jatuh sakit secara
tiba-tiba. Apa yang membingungkan ialah doktor gagal mengesan penyakit
yang dihadapinya.
Jalal sebaliknya meraung, menjerit, meronta dan menggelepar
kesakitan. Dalam raungannya itulah dia meminta ampun kepada arwah ibunya
kerana tidak sanggup menanggung azab yang pedih. Berterusanlah
keadaannya selama beberapa hari hingga saya dipanggil. Dalam waktu itu,
doktor dan jururawat tidak dapat berbuat apa-apa kecuali mengikat Jalal
di katil dan menyuntiknya dengan ubat pelali untuk menidurkannya.
“Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara lain,” kata saya. Di samping
ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan surah Yassin untuknya. Namun
apabila dibacakan saja ayat suci itu, Jalal menjerit kepanasan. Tubuhnya
menggeletik dan menggelepar kesakitan. “Aduh panasnya! Emak,
ampunkanlah saya emak! Jangan bawa saya ke situ emak, panas. Jangan bawa
saya ke situ. Saya tak mau, sakit, sakit. Tolonglah saya emak, ampunkan
saya, saya bersalah.”
Jeritan Jalal itu meruntun hati saya. Apakah yang dimaksudkannya
dengan ‘ke situ’? Kenapa Jalal tidak mahu dibawa ‘ke situ’ dan apa yang
dilihatnya di situ? Akibat tidak tertahan panas, tubuh Jalal terpaksa
dibogelkan.Tangan dan kakinya terus diikat ke katil. Selepas puas
mencuba tapi keadaan Jalal masih tidak berubah, saya meminta diri untuk
pulang. Satu ingatan saya tinggalkan kepada mereka, “Jika Jalal masih
hidup selepas zuhur ini, insya-Allah nyawanya masih panjang. Kalau
tidak…” Ketika itu lebih kurang pukul 10 pagi.
Saya tinggalkan mereka, namun sedang saya memandu, telefon bimbit
saya berdering. “Ustaz! Cepat ustaz, adik saya dah nazak,” kata si
abang. Saya berpatah balik dan apabila sampai di katilnya, saya lihat
Jalal begitu tenat. Nyawanya seperti sudah di penghujungan. Keluarganya
semakin cemas sambil air mata tidak henti-henti mengalir. Saya bacakan
Surah al-Asr, Surah al-Falaq, Surah an-Naas serta asma ul husna.
Alhamdulillah, Jalal berhenti meraung dan menggelepar. Keadaan senyap
seketika. Masing-masing beristighfar dan membaca ayat-ayat suci
al-Quran. Terbayang kelegaan di wajah mereka.
Tiba-tiba, ketenangan itu dipecahkan sekali lagi oleh jeritan Jalal.
Dia mengerang sambil tubuhnya kejang menahan kesakitan, mata terjegil
seperti hendak terkeluar dan dalam satu detik yang serentak juga
najisnya terpancut keluar. Bertabur membasahi seluarnya. Bau najis
menusuk hidung kami. Maha suci Allah,
keadaannya adalah seperti sesuatu
yang berat menghenyak perutnya yang mengakibatkan nyawa, roh, najis,
organ-organ dan segala-galanya yang ada di dalam tubuh terhambur keluar
secara serentak.
Di bahagian atas, semuanya seperti hendak terpancut keluar hingga
mata Jalal tersembul sementara di bahagian bawah, kakinya kaku dan najis
berhambur memancut-mancut. Cukup aib dan menyedihkan. Pakaian dan katil
basah dengan air mata, peluh serta najisnya. Selepas ‘rentapan’ itu,
Jalal tidak bernafas lagi. Degupan jantungnya berhenti dan dia pergi
menghadap Allah SWT untuk menerima balasan amalannya. Tamatlah riwayat
seorang anak derhaka.
Saya cuma mampu melihat dengan gementar sementara keluarga
Allahyarham menangis dan berpelukan sesama sendiri. Yang perempuan
terpaksa keluar kerana tidak sanggup melihat mayat adik mereka.
Demikianlah sakaratulmaut datang menjemput Jalal. Seperti yang
dijelaskan di dalam al-quran dan hadis, ia datang dengan menyentap,
merentap dan merenggut nyawa Jalal tanpa ada kasihan belas. Sudah
berpuluh-puluh tahun saya menguruskan jenazah dan melihat orang
menghadapi saat kematiannya, namun pengalaman menyaksikan sakaratulmaut
menjemput Jalal cukup memilukan hati saya. Kesengsaraan yang ditanggung
oleh Jalal sudah berakhir, namun mayatnya meninggalkan keaiban yang amat
sangat.
Matanya terbonjol seperti hendak terkeluar sementara giginya
menyeringai. Dari kerut wajahnya, jelas sekali Allahyarham baru sahaja
menanggung kesakitan dan azab yang amat pedih. Saya cuba pejamkan mata
Allahyarham, namun gagal. Kelopak mata tidak berupaya untuk menutup biji
matanya yang tersembul itu. Cukup mengerikan kerana hanya mata putih
sahaja yang kelihatan. Ikatan di kaki dan tangan Allahyarham dileraikan
dan tangannya dikiamkan. Kaki Allahyarham dirapatkan, namun sekali lagi
saya menyaksikan keaiban kaki Allahyarham tidak boleh dirapatkan kerana
duburnya terpancut keluar dan membonjol di celah kelengkangnya.
Saya menenangkan mereka supaya bersabar dan reda dengan apa yang
telah terjadi. Selesai membersihkan tubuh Allahyarham, jenazah dibawa
turun kerana keluarganya mahu menguruskan jenazah tersebut di rumah
mereka di salah sebuah taman perumahan di sebuah negeri di pantai barat
semenanjung. Rupa-rupanya keaiban belum berakhir. Sebaik sahaja van yang
membawa Allahyarham keluar dari perkarangan hospital, tiba-tiba
keempat-empat shock absorbernya patah secara serentak.
Van yang cuma membawa lima orang, mayat yang badannya sederhana
sahaja, dua orang abang dan kakaknya, pemandu serta seorang pembantu,
boleh patah shock absorbernya? Kelindan van bergegas memanggil kami.
Maha suci Allah, Tuhan yang Maha Besar, apabila hendak dikeluarkan dari
van, jenazah itu kami rasakan teramat berat hingga terpaksa diangkat
oleh kira-kira 15 orang. Selesai masalah itu, satu lagi masalah
timbul525950_508145219206512_1757148171_n – tidak ada van atau kereta
yang berani untuk mengangkat jenazah tersebut. Kebetulan sebuah lori
kosong yang mengangkat tanah, pasir ataupun kelapa sawit lalu di tempat
kejadian. Dengan lori itulah jenazah dibawa pulang ke rumahnya.
Apa yang membingungkan kami ialah walaupun mayat berkenaan terlalu
berat, tapi kayu penusungnya tidak pula patah. Lori bertolak ke rumah
Allahyarham sementara saya pula memandu pulang ke rumah. Saya
dimaklumkan bahawa Allahyarham dikebumikan di sebelah kubur ibunya.
Namun diceritakan juga kepada saya bahawa tanah yang ditambun ke atas
kuburnya tidak mencukupi. Untuk mengelakkan kubur Allahyarham berlubang,
tanah lain terpaksa diambil dan ditambur ke atasnya.
Tiga hari kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada keluarga
Allahyarham. “Ustaz, saya nak minta pertolongan dan pandangan daripada
ustaz.” “Apa masalahnya itu?” tanya saya. “Kubur adik saya berlubang
ustaz.” Masya-Allah, demikian sekali keaiban yang Allah tunjukkan kepada
anak yang derhaka kepada ibunya. Menurut abang Allahyarham, kewujudan
lubang itu disedari sehari selepas Allahyarham
dikebumikan. Lubang
tersebut bermula dari bahagian tengah kubur hinggalah mencecah kepada
papan yang menutup liang lahad. Tambah abang Allahyarham lagi, mereka
mengambusnya dengan tanah, namun keesokan harinya kubur tersebut
berlubang semula.
“Begini sajalah, cuba masukkan sekali kayu atau papan ke dalam lubang
tersebut, insya-Allah, tak berlubang lagi,” kata saya. Namun keesokan
harinya sekali lagi abang Allahyarham menghubungi saya memberitahu
bahawa kubur berkenaan berlubang semula. Apa yang membingungkannya,
tanah di kubur arwah ibunya langsung tidak berubah, masih tetap membusut
walaupun sudah lebih dua minggu dikebumikan. Bukan itu sahaja, katanya,
pokok yang ditanam di kubur ibunya juga hidup segar sedangkan pokok
yang ditanam di kubur adiknya mati kelayuan. Pada hari kelima, saya
menghubungi abang Allahyarham.
“Begini sajalah,” kata saya. “Mulai malam ini buatlah majlis Yassin
dan tahlil. Panggil 20 orang dan setiap seorang baca Surah Yassin
sebanyak 2 kali. Apabila selesai bacaan Yassin, minta imam bacakan doa
supaya diampunkan dosa Allahyarham kepada ibunya. Baca dalam bahasa
Melayu dan ulang doa itu sebanyak tujuh kali.”
Seperti yang saya nasihatkan, pada malam berkenaan mereka mengadakan
majlis itu. Namun saya diberitahu, imam yang membaca doa tersebut
menggigil ketakutan. Alhamdulillah, pada hari ketujuh, kubur berkenaan
tidak lagi berlubang. Peristiwa ini sudah berlaku empat tahun lepas
namun masih terbayang-bayang di mata saya. Setiap kali tibanya hari raya
aidilfitri, setiap kali itulah peristiwa tersebut menjelma dalam
ingatan kerana ia terjadi cuma beberapa hari selepas kita berhari raya.
Sungguh menyentuh hati saya, ketika orang sedang bergembira berhari
raya, ketika itulah keluarga tersebut ditimpa petaka, si ibu meninggal
dunia dan anaknya yang derhaka diazab hingga ke akhir hayatnya.
Kisah ini saya paparkan bukan untuk mengaibkan Allahyarham ataupun
keluarganya, tapi supaya kita dapat mengambilnya sebagai pedoman dan
iktibar. Doakanlah semoga dosa Allahyarham Jalal diampunkan Allah. Amin.
Halim Islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan