20 Mac 2013

Anak dilarikan penyamun, kereta ditemui terbakar

8 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Anak dilarikan penyamun

Penduduk melihat sisa kereta Wira milik Noraini ditinggalkan di tepi sawah yang dipercayai dibakar oleh suspek.
BACHOK – Seorang ibu tunggal dari Kampung Pauh Sembilan, disini masih trauma apabila anaknya hilang beberapa jam selepas keretanya dilarikan penyamun selepas pulang berniaga dari pasar borong Wakaf Che Yeh awal pagi Ahad lalu.

Noraini Mohamad, 39, berkata, ketika kejadian jam 2.30 pagi Ahad lalu dia baru pulang dari berniaga dan memberhentikan kereta di depan rumah untuk membuka pintu pagar.

Ketika itulah dia terdengar orang berlari dari dalam kegelapan malam dan terus masuk ke dalam keretanya.

“Anak keempat yang turut menemani saya berniaga, Nur Diney Amalyna Mohd Zabidi , 8, berada dalam kereta tersebut. Saya terkejut dengan kejadian itu yang amat pantas dan kereta itu terus dilarikan.

“Saya yang panik terus memanggil ibu di dalam rumah untuk memaklumkannya. Saya bimbang dengan keselamatan anak terus membuat laporan di Balai Polis Bachok. Bagaimana pun, anak saya ditemui beberapa jam kemudian di tepi Jalan Panchor/Jalan Sabak, Pengkalan Chepa, dipercayai ditinggalkan penyamun di kawasan tersebut,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia tidak dapat mengecam dua suspek lelaki yang memakai topeng dan seorang lagi tidak berbaju dan menutup mukanya dengan baju.

Suspek juga dipercayai membawa parang untuk menakutkan mangsa ketika melarikan kenderaan tersebut.

Noraini berkata, dia mendapat panggilan daripada Balai Polis Pengkalan Chepa yang memaklumkan anaknya berada di balai polis tersebut.

Manakala, kereta Wira miliknya hanya ditemui keesokan harinya dibakar di tepi sawah berdekatan tepi tali air Kampung Takang, Tawang, dekat sini.

“Saya sedih dengan kejadian ini yang sudah kali ketiga kami disamun. Tahun lepas suami saya, Mohd Zabidi Adam meninggal dunia akibat barah usus.

“Saya harap penyamun itu dapat ditangkap sebab sudah banyak kali kami disamun walaupun rumah kami dipenuhi rumah penduduk berdekatan,” katanya.

Manakala, ibunya, Hasanah Ishak, 78, berkata, dia juga trauma dengan kejadian yang menimpa anak cucunya.

Katanya, kes pecah rumah di kawasan tersebut berlaku hampir setiap malam dan amat menakutkan penduduk setempat.

“Kami harap kes ini dapat diambil berat oleh pihak polis memandangkan kami sering menjadi mangsa samun. Cucu saya sudah dua hari tidak pergi ke sekolah akibat trauma dan enggan bercakap selepas hari kejadian,” katanya.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan Ab Rahim Che Ghani mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

Katanya, mangsa kerugian sebanyak RM16,000 termasuk beg tangan berisi wang tunai, rantai tangan, dan kereta.

“Kereta mangsa ditemui pada 11 tengah semalam dalam keadaan terbakar, dan polis masih siasat bahan api yang digunakan untuk membakar kenderaan itu dengan bantuan pakar forensik bomba,” katanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: