20 Mac 2013

Kelantan tunggu Pas Pusat tentukan nasib Husam

8 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Mohd Amar Abdullah

Datuk Mohd Amar Abdullah
KOTA BHARU - Pas Kelantan tidak menghalang sebarang keputusan yang ditetapkan pusat berhubung tawaran untuk Naib Presidennya, Datuk Husam Musa supaya bertanding di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Sebaliknya, Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada pusat untuk membuat kata putus dalam soal tersebut.

“Itu adalah hasrat Pas Putrajaya, bagaimanapun pusat yang akan tentukan siapa bertanding di sana. Kata muktamad terletak di tangan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas tawaran Yang Dipertuanya, Mohamad Nazir Zakaria kepada Husam bertanding di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti sebagai peluang kemenangan Pas.

Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga exco kerajaan negeri memberitahu, terdapat beberapa nama lain dicadangkan dan disebut-sebut menjadi calon di kawasan tersebut namun enggan mendedahkannya.

Berhubung kepercayaan yang diberikan, Husam dalam kenyataannya kelmarin menyatakan kesediaan untuk menjadi pencabar utama kepada calon Barisan Nasional di kawasan itu.

Bagi Husam walaupun pada jangkaan harapan Pas untuk menawan Putrajaya hanyalah 40 peratus, beliau berjanji akan bekerja keras bagi merealisasikan  hasrat berkenaan sekiranya ditakdirkan menjadi calon di situ.

Sebelum ini, sudah tiga kali surat berkaitan calon di Putrajaya dihantar kepada pihak Pas Pusat untuk dipertimbangkan, malah bertemu dengan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaan dengan hasrat itu.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: