20 Mac 2013

Lagi nahas Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bukit Tagar, 3 maut

8 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


BUKIT TAGAR - Tiga orang terbunuh dalam kemalangan ngeri di Lebuh Raya Utara Selatan tengah malam tadi iaitu hanya satu kilometer dari lokasi nahas yang mengorbankan tiga penumpang bas ekspres bulan lalu.

Kemalangan di Kilometer 401.5 dekat susur keluar Plaza Tol Bukit Tagar, Hulu Selangor itu membabitkan sebuah kereta Mercedes-Benz dinaiki mangsa dan bertembung dengan treler muatan papan gegelung kabel.

Menurut seorang saksi yang mengekori rapat kereta mangsa, kejadian itu berlaku di depan matanya.

Dia yang enggan dikenali mendakwa kereta mangsa gagal mengelak treler terbabit yang terlebih dulu terbabas dan merintangi tengah lebuh raya.

"Bumbung kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa terkopak habis kerana terperosok di bawah muatan treler sebelum terjatuh dalam longkang.

"Kesemua mangsa mati tersepit di tempat duduk," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bersama bomba Tanjung Malim mengambil masa sejam untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa.

Sinar/-

Tiada ulasan: