20 Mac 2013

Patriotisme Lahad Datu yang merimaskan media

8 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Satu dasawarsa lalu, semalam, Amerika Syarikat melancarkan perang di Iraq di tengah-tengah bantahan dunia tetapi didukung kuat oleh elit politik dan rangkaian medianya.

Perang pada 19 Mac 2003 itu bertujuan menggulingkan Saddam Hussein dengan alasan tokoh politik Baath itu menyimpan "senjata pemusnah besar-besaran".

Hampir 4,500 tentera Amerika terkorban dan lebih 100,000 warga Iraq terbunuh; sementara jutaan lagi menjadi pelarian.

Iraq hari ini, berbanding sejarah dan legendanya, tidak lebih daripada sebuah negara yang disumpah seranah Dewata Mulia Raya dengan 1,001 mala petaka.

Minggu lalu, seorang wartawan kanan menulis di laman web CNN, media yang terkedepan mendukung perang ke atas Iraq, dengan nada penuh kecewa dan kesal.

Dalam artikelnya 'Media's failure on Iraq still stings', Howard Kurtz melampiaskan rasa kesalnya atas sikap media Amerika yang tidak mempertikaikan tindakan ketenteraan secukup-cukupnya dan sewajar-wajarnya.

Hos sebuah rancangan di CNN itu menyifatkan peranan media Amerika menjelang dan sewaktu perang Iraq sebagai: "the media's greatest failure in modern times" atau kegagalan terbesar media pada zaman ini.

Tambahnya, media-media gergasi di negara kuasa besar itu membantu pentadbiran George Bush melancarkan perang atas alasan yang palsu.

Kurtz menulis lagi: "All too often, skepticism was checked at the door, and the shaky claims of top officials and unnamed sources were trumpeted as fact."

Berita-berita salah dimuatkan, tidak disemak berkali-kali, dalam keghairahan menjual retorik perang tersebut seperti diludah oleh elit politik negara itu.

Berita-berita itu juga menyebabkan kita di Malaysia naik menyampah!

Dan berita-berita yang kritikal atau bernada mempertikaikan alasan perang berkenaan atau mendesak bukti kukuh, kata Kurtz lagi, sering pula disembunyikan, dikecilkan atau dibuang sama sekali.

Dalam bahasanya yang asal: "...pieces questioning the evidence or rationale for war were frequently buried, minimized or spiked."

Sentimen seumpama Kurtz ini sedang digeluti pemimpin Harakah, akhbar dwi-mingguan PAS.

Dalam artikel 'Helah semangat patriotisme di Lahad Datu' dua hari lalu, ketua pengarangnya meluahkan rasa rimas beliau berdepan dengan sikap hati-hati dan waspada PAS.

"Saya kerap diperingatkan agar lebih cermat dan berhati-hati apabila mengulas isu Lahad Datu. Beberapa artikel yang disumbangkan oleh rakan-rakan, menyentuh tragedi berdarah di Sabah itu, terpaksa ditolak," catat Ahmad Lutfi Othman.

"Saya sendiri mengedit berkali-kali catatan di kolum ini sehingga banyak perenggan dipotong dan mungkin kehilangan makna asal."

Editor politik berpengalaman ini dipesan agar "mengelakkan bahan-bahan sensitif dan boleh mengundang salah tanggapan" kepada organ PAS itu kerana ada pihak bimbang-bimbang "ia membawa natijah buruk kepada parti jika Harakah dilihat merendah-rendahkan pasukan keselamatan."

Dek demam patriotisme melulu ala di Amerika Syarikat pada 2003, ulasan Dr Abd Aziz Bari dalam Harakah keluaran Jumaat lalu, kata Ahmad Lufti lagi, ditanggapi sebagai "usaha memperlekeh tentera dan polis."

"Kalau badan kehakiman sendiri pun boleh dikritik, apa alasan yang menjadikan kedua-dua organisasi (tentera dan polis) yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan itu kebal daripada kritikan?" bekas profesor undang-undang dipetik sebagai berkata.

Ahmad Lutfi seterusnya mempertahankan kritikan atau pertikaian pengguna media sosial dalam isu Lahad Datu.

"Saya perhatikan kebanyakan teguran itu, seperti banyak diluahkan dalam media sosial, adalah berdasarkan kepentingan awam dan semangat cintakan tanah air."

Kurtz hari ini terpaksa menelan ludah kegagalan media Amerika dek demam patriotisme 10 tahun lalu, apakah media tempatan akan menurut jejaknya pula sedekad akan datang?

Nota kaki: Pada petang 7 April 1775, Samuel Johnson tiba-tiba melontarkan kata-kata ini: "Patriotism is the last refuge of a scoundrel."

FATHI ARIS OMAR ketua pengarang Malaysiakini.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: