8 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
MACHANG - Kesusahan hidup tidak menjadi halangan kepada Ooi Geok Thing, 20, untuk membina kejayaan, malah mengajarnya lebih cekal dan tidak mudah putus asa.
Ketika rakan-rakan bersuka ria pada musim cuti persekolahan, gadis ini bekerja keras mencari rezeki bagi memastikan dia dapat meneruskan pengajian dan mencapai cita-cita sebagai pensyarah.
Demi mengurangkan perbelanjaan ditanggung ayahnya yang juga orang kurang upaya, Geok Thing menggunakan masa yang ada mencari rezeki termasuk bekerja di kedai makan, pasar raya mahupun mengajar tuisyen.
Kelmarin, gadis ini menitiskan air mata selepas diumumkan pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Machang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.92.
Biarpun teragak-agak bercerita mengenai kisah hidupnya, Geok Thing berkata, dia mula bekerja sambilan sejak tingkatan tiga selain bergantung kepada bantuan biasiswa diterima.
Katanya, dia tidak mahu menyusahkan keluarga terutama ayahnya, memandangkan tiga adik lain juga masih bersekolah.
“Lagipun ayah saya tidak bekerja sejak dua tahun lalu, dulu dia bekerja sebagai tukang baiki televisyen.
“Saya berharap kejayaan ini menjadi titik permulaan kepada saya bagi mengejar cita-cita sebagai seorang pensyarah dalam bidang ekonomi.
"Bagi mencapai cita-cita tersebut, saya melakukan tiga pekerjaan sekali gus sejak tamat persekolahan tahun lalu untuk menyimpan duit ke menara gading,” katanya.
Geok Thing berkata, dia bekerja di dua kedai makan berbeza selain mengajar tuisyen bagi mengumpul wang saku ke universiti dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.
Katanya, sekalipun kehidupannya agak susah berbanding rakan lain, dia tidak pernah menganggapnya halangan, malah menjadikannya pendorong kejayaan.
Menurutnya, pengalaman berharga itu mengajarnya erti hidup dan lebih menghargai kehidupan sekali gus berazam mengubah nasib keluarganya.
“Saya tidak pernah menganggapnya sebagai perkara yang susah dan kejayaan ini adalah hadiah yang sangat bermakna buat kedua orang tua dan diri saya sendiri,” katanya.
Turut berkongsi CGPA sama, pelajar SMK Machang, Azlin Fatihah Che Amran.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan