24 July 2013

4,800 hektar tanah k'jaan, hutan simpan diceroboh

15 Ramadhan 1434 H. [MOD] -



Dianggarkan 4,800 hektar tanah kerajaan dan hutan simpan yang telah diceroboh di seluruh Pahang, menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.


Beliau berkata, kawasan yang dikenal pasti paling kritikal di Pahang ialah daerah Raub, Jerantut, Cameron Highlands, Bera dan Maran.



"Kita dah buat tim dan kenal pasti kawasan pencerobohan (contohnya) kawasan ramsar di Bera kita akan mula kuatkuasa selepas hari raya dengan mengambil tindakan untuk memusnahkan tanaman-tanaman lain dari yang sepatutnya.



"Ada cadangan tanaman yang diusahakan penceroboh itu diberikan kepada Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) buat ladang dan sebagainya tapi untuk ramsar ini tidak, kalau kita buat begitu maknanya orang teroka kita jadikan kawasan kelapa sawit, lama kelamaan ramsar ini akan hilang," katanya kepada pemberita di Kuantan, semalam.



Mengikut laporan media terdapat rungutan penduduk di sekitar Tasik Bera mahu kerajaan bertindak tegas terhadap peneroka haram, termasuk menghentikan pencerobohan di kawasan ramsar atau tanah lembap yang memusnahkan pelbagai spesies flora dan fauna di kawasan berkenaan. 



Dalam laporan itu juga penduduk mahu perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang meneroka kawasan 400 hektar itu perlu dihentikan segera.



Muhammad Safian berkata, kawasan ramsar berkenaan akan dipertahan yang mempunyai keistimewaan tersendiri dan telah mendapat pengiktirafan dari Pertubuhan Bangsa Bersatu dengan memberi pengiktirafan Bera sebagai kawasan Ramsar.



Dalam pada itu katanya, sebahagian besar pencerobohan itu dilakukan oleh orang luar sebagai contoh di Cameron Highlands adalah orang luar yang mengambil kesempatan.



Mengikut kiraan katanya, anggaran kerugian yang ditanggung untuk pencerobohan bagi kawasan balak mencecah RM7,000 per ekar manakala kawasan pertanian RM600 seekar dan tanah biasa pula RM12 seekar bagi setahun. 



Bernama

No comments: