24 July 2013

'Saya telah berusaha, kini doa dan berserah'

15 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily/-
BESUT: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, Endot @ Azlan Yusof hari ini membuang undi di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Che Long yang mengundi di saluran dua tiba di Pusat Pengundian pada jam 7.54 pagi dengan diiringi oleh pimpinan PAS peringkat pusat dan juga negeri.

Che Long yang merupakan individu pertama mengundi di sekolah sebaik sahaja Pusat Pengundian dibuka pada jam 8 pagi.

Jelasnya ketika ditemui, walaupun tempoh kempen PRK sudah berlangsung selama 12 hari berakhir tepat jam 12 tengah malam semalam, namun perasaan gementar itu tetap ada apatah lagi beliau mengundi sebagai seorang calon.

"Syukur saya sudah pun menunaikan tanggungjawab saya sebagai pengundi, memang sedikit gementar kerana sebelum ini saya mengundi sebagai orang biasa tapi kali ini tidak kerana saya mengundi sebagai calon," jelasnya.

Menurutnya lagi, sepanjang tempoh berkempen yang berakhir semalam, beliau amat berpuashati dengan respon yang diberikan oleh penduduk di Dun Kuala Besut.

"Sepanjang kempen yang berakhir semalam, saya amat berpuas hati dengan respon yang diberikan oleh pengundi.

"Saya telah berusaha sebaik yang mungkin untuk bertemu seramai mungkin pengundi dan selebihnya saya berserah kepada Allah.

"Saya yakin melihat kepada sambutan PAS mempunyai peluang yang besar untuk memenangi kerusi Dun Kuala Besut, walau macam mana sekali pun kita kena berserah kepada Allah," sambung beliau lagi.

Isteri beliau, Che Zabiyah Muhammad juga mengundi di tempat yang sama.

Che Long dan isterinya sempat bertemu dengan pengundi dan juga akan mengunjungi ke semua pusat pengundi bagi bertemu pengundi-pengundi.

Sehingga jam 9 pagi, jumlah yang keluar mengundi amat mengalakkan bagi semua saluran, kebanyakkan pengundi mengambil peluang untuk mengundi di awal pagi bagi mengelakkan cuaca panas di sebelah petang.

Suasana harmoni ditunjukkan oleh kedua-dua penyokong dalam mereka meraih undi walaupun kedudukan mereka hanya bersebelahan.

No comments: