24 July 2013

Kuala Lumpur wajar gazet 17 Ramadan cuti umum

15 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS Batu menggesa kerajaan mengisytiharkan hari Nuzul Quran sebagai hari cuti umum bagi Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur.

Yang Dipertua PAS kawasan tersebut, Ishak Surin berkata hari Nuzul Quran yang jatuh pada setiap 17 Ramadhan itu perlu diperingati dan dirayakan bagi menyatakan kegembiraan dan kesyukuran kita di atas rahmat Allah.
"Tanggal 17 Ramadan yang telah disepakati sebahagian besar ulama sebagai hari mula turunnya al-Quran kepada junjungan besar Muhammad SAW melalui malaikat jibril amatlah perlu diperingati dan dirayakan," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Namun, malangnya kata beliau pihak Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur yang menjadi pusat petadbiran negara sepatutnya menjadi contoh dan mendahului, tetapi sama sekali tidak prihatin dan ketinggalan.

Beliau beranggapan keadaan itu tidak sahaja menyedihkan bahkan amat mengaibkan, di saat kebanyakan negeri di Malaysia telah mengisytiharkan tanggal 17 Ramadan sebagai hari cuti umum.

Bagaimanapun, Ishak berkata masih belum terlewat wlaupun agak terlambat untuk pihak kerajaan persekutuan membetulkan kelalaian yang berlaku.

Justeru, katanya PAS Batu menuntut agar kerajaan persekutuan mengisytiharkan tanggal 17 Ramadan sebagai hari cuti umum bagi warga kerja Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur.

"Hakikatnya, ini kali ketiga PAS Batu menuntut agar kerajaan mengisytiharkan hari Nuzul Quran sebagai cuti umum, namun masih tidak berubah.  

"Sekiranya kerajaan persekutuan bersedia membuat pengisytiharan tersebut, kami sememangnya berterima kasih atas keprihatinan tersebut," tegas beliau.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan menggerakkan masyarakat bersama-sama untuk ke Istana Negara atas tujuan itu sekiranya kerajaan masih tidak mengendahkan tuntutan tersebut.

Harakahdaily/-

No comments: