24 Julai 2013

Awas, jangan tertinggal anak dalam kenderaan

15 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa simpati ke atas tragedi yang menimpa kepada adik Nawal Iris Samsudin, 3, yang meninggal dunia akibat lemas dalam kereta setelah ditinggalkan ibunya secara tidak sengaja di sebuah sekolah di Subang Jaya beberapa hari yang lalu.

Kanak-kanak ini ditinggalkan selama lima jam dalam kereta sebelum disedari oleh ibunya dan disahkan meninggal dunia kemudiannya.
“DPPM menganggap kejadian ini sebagai suatu tragedi yang menyedihkan. Apa yang berlaku adalah suratan yang menimpa ke atas kanak-kanak malang itu dan keluarganya,” ujar Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tidak ada ibu yang tidak sayangkan anaknya dan inginkan kejadian seperti itu menimpa anaknya namun itulah yang berlaku ke atas keluarga itu.

Kejadian itu, ujarnya menjadi suatu pengajaran berharga kepada semua ibu bapa agar sentiasa mengawasi keselamatan anak-anak.


Jelasnya, anak-anak adalah permata yang paling berharga, dan ibu bapalah yang diamanahkan menjaga mereka.

“Setiap pergerakan anak-anak perlu dipantau, diawasi dan diketahui supaya mereka tahu perkembangan anak-anak,” ujarnya.

DPPM, katanya merasakan insiden seperti ini boleh dielakkan sekiranya ibu bapa mengetahui pergerakan anak-anak di samping sentiasa memerhatikan keadaan kenderaan mereka sebelum meninggalkannya di kawasan parkir.

Seharusnya, kata beliau sebelum meninggalkan kenderaan, setiap orang melihat di dalam kenderaannya supaya tidak ada barang berharga atau orang yang tercicir di dalamnya. Ia boleh mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini termasuk tertinggal anak atau insan yang disayangi di dalam kenderaan selain mengelakkan kejadian pecah kereta atau jenayah kecurian berlaku.

Selain itu, beliau mengingatkan ibu bapa tidak boleh meninggalkan anak-anak di dalam kenderaan dalam keadaan enjin dihidupkan atau dimatikan kerana boleh mengakibatkan kenderaan mereka di bawa lari perompak atau anak-anak terkunci di dalam kenderaan.

Katanya, kecuaian dan sikap culas ibu bapa dalam menguruskan keluarga terutama anak-anak boleh menyebabkan malapetaka terhadap keluarganya.

“Amalkan sikap berhati-hati dan teliti dalm setiap perkara kerana ia boleh menyelamatkan nyawa dan menjaga keharmonian keluarga,” katanya.

harakahdaily.net

Tiada ulasan: