24 July 2013

Kuala Besut penentu nasib DUN Terengganu.


15 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


Pengundi Kuala Besut hari ini akan menentukan sama ada mahu mengekal Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan negeri atau menyokong kempen kerajaan setara 16:16 yang diimpikan PAS.
Ia bermula sebaik sahaja pusat mengundi dibuka jam 8 pagi dan ditutup 5 petang bagi 17,679 pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Kira-kira 3,000 anggota polis bertugas untuk memastikan proses pilihan raya kecil (PRK) berikutan kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dr A Rahman Mokhtar 26 Jun lalu, berlangsung aman.
Kerusi DUN Terengganu yang bersempadan dengan Kelantan itu dianggap kubu kuat BN kecuali pada 1999 apabila PAS menang.
Kini, parti itu mahu mencipta sejarah untuk menyamakan kedudukan menjadi 16 daripada jumlah keseluruhan 32 kerusi.
PAS berkempen dengan agenda 16:16 sejak hari penamaan calon tetapi mendakwa tidak berminat untuk mengambil alih kedudukan menteri besar, sebaliknya mahu memberi tumpuan sebagai pengimbang kuasa kerajaan negeri yang dipimpin BN.
Selama kempen 12 hari PRK pertama Malaysia selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) itu, ia menyaksikan calon PAS Endut @ Azlan Yusof menyaingi calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
Ia juga dilihat sebagai usaha PAS untuk mengubah nasib pada PRU13 yang menyaksikan mereka hanya mendapat 21 kerusi Parlimen berbanding 23 pada PRU12.
Kajian badan kajian tempatan, Ilham Centre pada 18 sehingga 21 Julai lalu mendapati populariti calon PAS jauh mendahului dengan 71 peratus berbanding 14 peratus bagi calon BN, tetapi realiti mungkin tidak menyebelahi PAS.
Penganalisis percaya ia disebabkan calon PAS lebih kerap 'mengunci mulut' sepanjang kempen, sebaliknya Che Long hanya 'mewakilkan' pemimpin tertinggi PAS untuk membantunya.
Sumber dalaman PAS memberitahu The Malaysian Insider,  selepas kenyataan Che Long dimanipulasi media arus perdana pada peringkat awal kempen, parti berkenaan mengarahkannya supaya tidak membuat kenyataan.
Ia berbeza dengan Tengku Zaihan yang dilihat sebagai seorang yang tidak takut menyuarakan pandangan, malah mesra media.
Kedua-dua calon juga membawa pemimpin besar dalam kempen, antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sepanjang kempen, BN menghambur janji pelbagai bantuan kerajaan dan ia dianggar bernilai RM19,000 bagi setiap pengundi.
PAS pula berharap mampu merampas kerusi itu selepas beberapa siri kekalahan selepas 1999 sementara BN yakin kempen agresif mereka bakal mengulangi kemenangan PRU 13.
Pada PRU13, BN menang dengan majoriti 2,434 undi dan penganalisis percaya mereka sukar dikalahkan di Kuala Besut.
Apapun, penentuan dapat disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijangka membuat pengumuman keputusan sekitar jam 10 malam ini. – 24 Julai, 2013. 
TMI/-

No comments: