Pihak polis terpaksa menjalankan siasatan selama tiga jam ekoran mesin deposit wang sebuah bank di Jalan Datok
Keramat di sini didapati terbuka pada bahagian atasnya dengan satu anak kunci masih tergantung di mesin itu.
    
Polis yang meronda di kawasan bank berkenaan pada mulanya menyangka mesin itu telah dirompak.
Namun Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Nasir Salleh berkata kejadian pukul 10.30 malam itu adalah berpunca dari kecuaian pihak petugas keselamatan yang gagal mengunci semula peti itu.
    
"Kita telah meneliti rakaman CCTV (kamera litar tertutup) yang dipasang di bank berkenaan dan mendapati petugas keselamatan telah tergesa-gesa meninggalkan mesin itu selepas membuat sesuatu padanya sehingga terlupa menutup dan mengunci mesin itu," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.
    
Beliau berkata tiada sebarang pengawal keselamatan yang bertugas di ruang mesin juruwang automatik (ATM) bank itu ketika polis tiba di tempat kejadian.

- Bernama