24 July 2013

Bufet Ramadan: Premis tanpa sijil halal diserbu

15 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

Pihak berkuasa hari ini menyerbu dua premis di bandar raya Ipoh yang didapati menggunakan perbahasan halal 'Bufet Ramadan' tanpa sijil halal yang sah.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) Datuk Mohd Yusop Husin berkata Operasi Bufet Ramadan itu melibatkan pegawai JAIPK; Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Operasi bermula pukul 10 pagi itu adalah susulan aduan orang ramai dan pemeriksaan mendapati premis itu menggunakan ramuan masakan yang tidak mempunyai sijil halal, katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Katanya pemeriksaan juga mendapati pengusaha tidak mengasingkan barangan halal dan tidak halal.

Menurut Mohd Yusop satu daripada premis turut bertindak menipu pelanggan dengan memberitahu permohonan sijil halal mereka masih dalam proses sedangkan siasatan mendapati pengusaha tidak memohon sijil berkenaan.

Beliau berkata perkara itu diserahkan kepada PPDNKK Perak untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta  Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Katanya dalam serbuan hari ini pengusaha premis diarah menurunkan kain rentang dan menyerahkan semua risalah promosi bufet Ramadan kepada pihak berkuasa.

Mohd Yusop turut mengingatkan orang ramai yang ingin berbuka puasa di luar supaya memastikan terlebih dahulu sama ada premis makanan itu mempunyai sijil halal atau sebaliknya.

Beliau berkata setakat ini 40 premis makanan di seluruh Perak mempunyai sijil halal manakala beberapa permohonan lagi sedang diproses.

"Prosedur untuk mendapatkan sijil halal bukan sahaja mengambil kira barangan itu halal ataupun tidak. Kita juga mengambil kira kebersihan sesuatu premis itu dan mengasingkan barang yang tidak halal dan halal," katanya. 

Bernama

No comments: