24 July 2013

Black 505: Dua MP Pakatan, lima lagi didakwa

15 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen, empat aktivis pelajar dan seorang anggota sekretariat Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan Black 505 di Padang Merbok.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook bersama dengan aktivis pelajar, Adam Adli Halim, Muhammad Safwan Anang, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, Mohamed Bukhairy Mohamed Sofian dan anggota sekretariat PKR, Adib Ishar didakwa atas pertuduhan berlainan di Mahkamah Sesyen di sini Rabu.

Rafizi, Loke dan Adib didakwa atas pertuduhan utama iaitu gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad yang memerlukan mereka mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menggunakan Padang Merbok untuk perhimpunan itu.
Mereka juga didakwa atas pertuduhan alternatif kerana gagal memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan itu, 10 hari sebelum ia diadakan.
Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh, membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin yang dikurangkan kepada RM2,000 selepas peguam N.Surendran dan K.P.Wong membantah mereka yang didakwa tidak memerlukan ikat jamin untuk dibebaskan.
Adam Adli, Muhammad Safwan, Ekhsan Bukharee dan Mohamed Bukhairy didakwa berasingan kerana berkumpul di kawasan larangan, masjid Ar Rahmand di Universiti Malaya pada 22 Jun.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad membenarkan ikat jamin dengan bon peribadi kepada keempat-empat tertuduh yang dipersetujui oleh peguam N. Surendran yang turut mewakili Adam Adli.
Hakim Mat Ghani Abdullah membebaskan mereka dengan bon peribadi RM3,000 setiap seorang tanpa penjamin terhadap Rafizi, Loke dan Adib manakala RM2,000 untuk yang lain tanpa penjamin.
Beliau turut menetapkan 7 Oktober sebagai sebutan semula kes untuk Rafizi, Loke dan Adib manakala 21 Oktober bagi Adam Adli, Muhammad Safwan, Ekhsan Bukharee dan Mohamed Bukhairy.
Turut hadir di mahkamah Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah, penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Mstar/-

1 comment:

mohd azrul said...

buat perhimpunan aman kena tangkap ini negara demokrasi