17 Jun 2011

Bersih 2.0: Khalid jangan buta undang-undang

15 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Jun: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia menyelar kenyataanTimbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar pada 15 Jun lalu bahawa pihak polis akan mengambil tindakan termasuk membuat tangkapan pencegahan sekiranya perlu, sebelum dan semasa perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadual berlangsung pada 9 Julai depan.

Pengarahnya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzami berkataan kenyataan itu tidak mencerminkan bahawa Timbalan Ketua Polis Negara memahami Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak warganegara untuk berhimpun secara aman.

“Kami amat simpati dengan rakyat Malaysia kerana mempunyai seorang Timbalan Ketua Polis Negara yang buta undang-undang dan tidak memahami hak asasi rakyat yang sangat fundamental dalam sebuah negara demokrasi,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, tindakan menangkap berbentuk pencegahan (pre-emptive) untuk satu kesalahan yang belum lagi berlaku jelas menyalahi prinsip asas perundangan jenayah dan hak asasi manusia.

“Adakah kenyataan ini bermaksud pihak polis ingin menghalalkan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri bagi menangkap orang yang tidak bersalah?” soalnya.

Jelasnya, tindakan penangkapan seperti itu tidak syak lagi adalah satu salah guna kuasa (abuse) yang sangat jelas oleh pihak eksekutif dan sekutunya.

Beliau berkata, phaknya juga melihat kenyataan tersebut sebagai suatu ugutan yang tidak wajar dilakukan oleh Timbalan Ketua Polis Negara yang mewakili pasukan polis selaku penjaga kepentingan awam (guardian of public interest).

Menurutnya, pihak yang ingin berhimpun secara aman mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan sekiranya berlaku apa-apa kemudaratan awam atau kesalahan jenayah, maka barulah pihak polis menyuraikannya selaras dengan Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Sehingga perkara sebegitu berlaku, jelasnya tindakan menghalang adalah satu salah guna kuasa pihak polis ke atas hak yang telah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau lagi, Seksyen 27 Akta Polis tersebut bertujuan untuk mengawal dan menjaga ketenteraman sewaktu perhimpunan berlangsung dan bukannya digunakan untuk menghalang hak rakyat dari berhimpun.

Justeru, Juham menggesa pihak polis meneruskan tanggungjawab selaku penguatkuasa undang-undang dan mematuhi kuasa dan tanggungjawab yang diperuntukkan melalui Seksyen 20(1), Bahagian VII Akta Polis 1967 yang menyatakan bahawa:

"Tiap-tiap pegawai polis hendaklah melaksanakan tugas-tugas dan menjalankan kuasa-kuasa yang dipertanggungkan atau DIBERIKAN OLEH UNDANG-UNDANG ke atas atau kepada seorang pegawai polis, ..."

Katanya, perlaksanaan tugasan dan tanggungjawab pihak polis DENGAN MEMATUHI UNDANG-UNDANG dan menggunakan budibicara yang adil untuk kesemua pihak tanpa amalan double standard akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Oleh itu, ujarnya Juham menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mempertahankan hak berhimpun dan berkumpul secara aman sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan konvensyen undang-undang serta amalan hak asasi manusia sejagat.

Tegasnya, Juham juga berikrar akan mempertahankan hak ini dan bersedia untuk memberikan khidmat perundangan kepada mangsa-mangsa tangkapan polis yang dibuat secara tidak sah.

“Kami akan memberikan legal representation kepada mereka yang terlibat seawal dari tangkapan dibuat sehinggalah ke peringkat rayuan di mahkamah tertinggi dengan segala kos guaman ditanggung sepenuhnya.

“Ayuh, rakyat Malaysia, bangkitlah dan pertahankan hak kita sebagai warganegara Malaysia tanpa rasa takut dan gentar,” katanya.

Harakahdaily

Tiada ulasan: