17 Jun 2011

MAFA pokai

15 Rejab 1432H. [MOD] -

ANSARI mengalami masalah kewangan untuk membiayai kos perubatannya.

PERSATUAN Bola Sepak Melaka (MAFA) tidak memandang sepi masalah pembayaran gaji tertunggak yang membelenggu pemain serta pegawai skuad Melaka, sebaliknya berusaha untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan.

Bagaimanapun, masalah kewangan yang melanda MAFA termasuk hutang berjumlah hampir RM2 juta menyebabkan persatuan berkenaan tidak mampu berbuat demikian.

Setiausaha Eksekutif MAFA, Hahi Salleh (gambar kecil) berkata, dalam usaha menyelesaikan tunggakan gaji tersebut, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kami memohon agar FAM membantu Mafa menjelaskan tunggakan gaji ini yang berjumlah kira-kira RM100,000.

“Jika FAM menjelaskan tunggakan gaji ini, mereka boleh tolak terus bayaran ini daripada geran tahunan MAFA,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai rayuan bekas jurulatih penjaga gol pasukan Melaka, Ansari Mustafa, 52, yang masih belum mendapat tunggakan gajinya berjumlah RM24,500 daripada MAFA.

Menambahkan lagi bebanannya, Ansari kini menderita jangkitan kuman pada kaki kanannya sejak sebulan lalu dan kini mengharapkan MAFA menjelaskan tunggakan gajinya bagi membantu membiayai rawatan penyakitnya itu.

Dalam pada itu, Hahi menafikan yang Mafa tidak mengambil berat kebajikan Ansari yang kini terlantar di hospital akibat jangkitan kuman pada kaki kanannya.

"Memang benar saya ada menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) daripada Ansari, namun ketika itu saya menjangka dia hanya sakit biasa saja dan dirawat sekejap sahaja di hospital.”

Menurutnya, selama ini, MAFA telah banyak memberi sumbangan kepada bekas pemain dan pegawai yang menderita akibat penyakit.

“Kami tak mampu sumbang dengan jumlah wang yang besar, biasanya MAFA akan memberi RM500 bagi meringankan beban mereka.

“Namun jika nak bayar keseluruhan tunggakan gaji Ansari, terus terang saya katakan kami tak mampu,” katanya.

kosmo/-

1 ulasan:

Cikli berkata...

sumbangan lain. ini tak bayar gaji!