17 Jun 2011

Pura-pura pengsan elak dicekup

15 Rejab 1432H. [MOD] -

BAGAN SERAI – Hanya kerana mahu elak dicekup, seorang lelaki sanggup mengambil tindakan pura-pura pengsan ketika cubaannya memecah masuk sebuah rumah di Taman Serai Perdana, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit berpura-pura pengsan di atas bumbung milik sebuah rumah penduduk.

Ketua Pasukan Keselamatan Sukarelawan Bagan Serai, Ooi Ding Soon berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian oleh penduduk kira-kira jam 1.30 pagi, kelmarin, yang mengesyaki berlakunya kes pecah rumah.

Menurutnya, beliau kemudiannya mengumpulkan ahli untuk membuat intipan dan tangkapan.

“Tiba di lokasi kejadian, perompak ini berpura-pura pengsan kerana dipercayai tidak mempunyai jalan untuk melarikan diri setelah dikepung.

“Kami terpaksa meminta bantuan daripada pihak bomba untuk membawa turun lelaki terbabit,” katanya.

Katanya, pihaknya turut memanggil pihak polis untuk membawa penjenayah berkenaan ke balai berhampiran.

Sementara itu, mangsa, Yew Thean Seng, 69, berkata, dia mengetahui hal itu apabila dihubungi Ding Soon.

Menurutnya, ketika kejadian, dia tidak berada di rumah dan Ding Soon memintanya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Balai Polis Bagan Serai untuk tujuan keselamatan.

“Mujurlah tindakan pencuri ini berjaya di hidu jiran tetangga saya, jika tidak saya sudah kerugian akibat kehilangan harta benda.

“Bumbung dan syiling rumah saya telah dipecahkan cuma pencuri mungkin tidak sempat masuk ke dalam rumah dan mengambil barang-barang,” katanya.

Thean Seng berkata, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan polis masih menyiasat kes berkenaan.

“Terima kasih di atas keprihatinan jiran tetangga dan pasukan keselamatan termasuk pihak bomba dan serta polis,” katanya.

sinarharian/-

Tiada ulasan: