17 Jun 2011

Rasuah: Bekas Pengarah NasionCom lepas dan bebas

15 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 17 Jun – Bekas Pengarah NasionCom Holdings Bhd (NCH), Chee Kok Wing hari ini dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap sembilan pertuduhan menerima rasuah melibatkan lebih RM3.85 juta.

Hakim Rosbiahanin Ariffin membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Kok Wing, 48, di akhir kes pendakwaan.

"Setelah meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh tanpa perlu membela diri.

"Dalam membuat keputusan ini, mahkamah mendapati dalam kes ini keterangan saksi pendakwaan iaitu pengadu tidak disokong mana-mana keterangan yang lain serta tujuan sebarang pembayaran jika ada, tidak terbukti,” katanya.

Kok Wing, didakwa di mahkamah di sini dan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Mei 2008 terhadap kesalahan menerima rasuah daripada tiga pengarah syarikat makanan laut, Gropoint Ocean Food Sdn Bhd yang berpangkalan di Labuan, Sabah sebagai dorongan kepada pengarah Bahagian Terbitan dan Pelaburan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kris Azman Abdullah bagi membantu syarikat itu disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Suapan itu juga bagi menghentikan siasatan oleh pihak Suruhanjaya Syarikat terhadap syarikat itu. – Utusan

Tiada ulasan: