17 Jun 2011

Mahkamah arah pertemuan dengan Najib didedah

15 Rejab 1432H. [MOD] -

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Felda dan syarikat pelaburannya supaya bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Datuk Dr Tan Kee Kwong mendedahkan butir-butir lanjut berhubung pertemuan yang dikatakan melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dua yang lain dalam satu tuntutan terhadap beliau.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Cheng Mai yang mewakili mewakili Felda dan syarikat pelaburannya Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd dan Ho Kok Yew bagi pihak Tan.

Mengikut rekod mahkamah, Zabariah turut menetapkan tiga hari bermula 7 Julai untuk mendengar perbicaraan permohonan Felda dan Felda Global yang memfailkan saman malu RM200 juta terhadap Dr Tan atas artikel yang memfitnah diterbitkan dalam akhbar "Suara Keadilan" tahun lalu.

Pada 25 Jan lalu kedua-dua pihak itu telah memfailkan saman tersebut dan mendakwa bahawa kata-kata fitnah itu diterbitkan dalam sebuah artikel muka depan berjudul "Kontroversi" dan artikel lanjutan di muka tiga, di bawah tajuk "Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga individu".

Mereka mendakwa artikel tersebut telah memfitnah mereka kerana kata-kata tersebut memberi makna tersirat bahawa pemerolehan dan pembinaan Menara Felda di Segitiga Emas di Kuala Lumpur adalah untuk faedah kroni.

Mereka berkata bahawa kata-kata itu bermakna bahawa transaksi bangunan Felda telah menyebabkan kerugian kepada mereka dan menyebabkan plaintif menghadapi penghinaan di khalayak awam.

Mereka memohon antara lain ganti rugi RM200 juta serta injunksi untuk menyekat Dr Tan dari terus bercakap atau menerbitkan kata-kata serupa.

- Bernama

1 ulasan:

Qaseh Bonda berkata...

Alangkah mulianya para2 hakim sekiranya berani bertindak membuat keputusan. Berani kerana benar. Tidak takut dan tidak gentar. Hakim yang dimuliakan adalah amanah Allah.

Rugi jadi hakim kalau dok takut lagi pada manusia. Bukan mudah nak dapat gelaran yang arif lagi bijaksana. Tak kejar pangkat dah kalau jadi hakim. Peduli apa ke tan sri ke puan sri.Menegakkan keadilan supaya selesa dipadang mahsyar. Sebelum diadili dan dihakimi oleh yang Maha Adil.

Satu penghormatan bagi negara bila kita memiliki hakim yang berani dan benar.