7 Rejab 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU-Polis Kelantan berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di negeri ini melibatkan dua beradik yang dikenali ‘2 S’, dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Panau, Tanah Merah Jumaat lalu.
Operasi yang dilakukan pada jam 6.50 pagi oleh anggota dan pegawai Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) itu berjaya merampas sebanyak 4,092 biji pil kuda bernilai RM143,220.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik, Supritendan Amran Ramli berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas wang bernilai RM25,400, sebuah kereta Perodua Kancil dan motosikal jenis Yamaha menjadikan jumlah keseluruhan RM300,000.
“Dalam operasi itu, polis berjaya merampas 100 pil kuda yang diletakkan di atas rak dalam bilik rumah terbabit, termasuk 3,992 lagi pil yang disorokkan dalam peti sejuk.
“Di samping itu kita turut menahan dua beradik berkenaan, yang menjadi dalang utama dalam pengedaran di sekitar negeri ini termasuk di kawasan Tanah Merah, Gua Musang, Kota Bharu dan Pasir Mas,”katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kelantan semalam.
Amran berkata, dua beradik itu berusia 20 dan 24 tahun serta bekerja sebagai peniaga dan mekanik di sekitar bandar Tanah Merah.
“Buat masa ini kita menahan reman kedua-dua suspek bemula semalam sehingga 1 Jun ini untuk siasatan lanjut.
Operasi ini dilakukan lanjutan daripada Ops Jala yang dilancarkan sejak Januari lalu,”katanya.
Menurutnya, pada Februari lalu, pihaknya berjaya menahan tiga anggota sindiket bersama 1,576 pil kuda berjumlah RM64,000.
Beliau berkata dengan penahanan suspek, polis percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di sekitar negeri ini dan memburu tiga lagi geng kumpulan terbabit yang masih bebas.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan