7 Rejab 1433H. [MOD] -
SHAH ALAM – Beberapa pakar neurologi dari dalam dan luar Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan melawat dan menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap Adam Akbar Ali, 10, yang menderita penyakit tumor saraf tunjang.
Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, kumpulan itu akan membuat penilaian terhadap kesihatan Adam hari ini bagi memudahkan kanak-kanak itu membuatpembedahan di Hospital John Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat.
Adam dikejarkan ke HKL jam 12.50 tengah hari kelmarin, kerana mengalami kesakitan bahagian leher sehingga tidak mampu menoleh ke kiri.
Adam ditempatkan di Wad Neuro 6B dan dijangka keluar hari ini.
“Alhamdulillah, setelah menerima beberapa rawatan di sini, Adam semakin stabil dan sakit di lehernya semakin berkurangan.
“Kelmarin, kami bergegas menghantar Adam ke sini kerana dia tidak mampu tahan sakit akibat tumor yang dialaminya itu menyebabkan kesakitan bahagian leher dan telah mengubah postur badan Adam,” katanya.
Adam menderita penyakit ini sejak empat tahun lalu. Sepuluh daripada sejuta orang mengidap penyakit itu.
Sekiranya tumor atau ketumbuhan yang berada pada saraf tunjangnya itu tidak dikeluarkan, ia akan mengganggu saraf kaki, tangan dan pernafasan sehingga menyebabkan lumpuh atau kematian disebabkan saraf pernafasan yang terganggu.
Adam kini memerlukan RM175,000 bagi menampung keseluruhan kos pembedahannya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan