7 Rejab 1433H. [MOD] -
PENGURUS England, Roy Hodgson teruja dengan persembahan anak buahnya selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Norway di Stadium Ullevaal (Oslo), awal pagi semalam.
Tetapi, dia mengakui The Three Lions perlu bekerja keras sebelum saingan sebenar Kejohanan Euro bulan depan.
“Ini pencapaian menakjubkan sepanjang kerjaya saya sebagai jurulatih kebangsaan. Norway bermain hebat dan kami berjaya menewaskan mereka di arena sendiri.
“Saya akui England perlu lebih gigih bagi mencatat keputusan positif dan bergelar juara, kami perlu buat lebih kerja berbanding sekarang,” katanya.
Pada aksi tersebut, jaringan tunggal Ashley Young minit ke-9 sudah cukup melegakan penyokong England yang sebelum ini meragui kewibawaan Hodgson.
Bekas pengurus West Bromwich Albion FC itu mengambil alih pasukan buat pertama kali dan hanya tiga hari berkesempatan membimbing anak didiknya.
“Saya berjanji menyediakan skuad yang lebih jitu menjelang pertembungan pembukaan berdepan Perancis 11 Jun nanti,” katanya.
Bagaimanapun, krisis kecederaan menimpa pemainnya sedikit meresahkan tatkala mereka melayan kunjungan Belgium pada sesi pemanas badan terakhir di Wembley, 2 Jun ini.
“Scott Paker tiada masalah. Cuma, Gareth Barry yang agak serius kerana mengalami kecederaan pada otot. Kami perlu tunggu dahulu ujian imbasan dan sekiranya pada tahap membimbangkan kemungkinan saya akan memikirkan apa perancangan seterusnya,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan