28 Mei 2012

Tulisan jawi ditinggalkan bahasa Inggeris disanjungi

7 Rejab 1433H. [MOD] -

Tulisan Jawi adalah satu seni penulisan yang telah wujud berabad-abad lamanya di Nusantara. Ianya muncul serta berkait secara langsung dengan kedatangan Islam ke Nusantara.

Tulisan Jawi berasal dari tulisan Arab dan merupakan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu. Tulisan Jawi ialah tulisan rasmi bagi negara Brunei dan digunakan meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang pernah ditemui. Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19. Ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi.

Tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakkannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu. Ada juga sesetengah negeri memartabatkan tulisan tersebut pada papan-papan tanda jalan dan bangunan-bangunan.

Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. Contohnya digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Selain itu, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.

Tulisan jawi kini semakin terpinggir di bumi sendiri semenjak huruf roman diperkenalkan untuk menggantikannya selaras dengan perkembangan teknologi dan juga pengaruh Inggeris terhadap orang Melayu-Islam.

Kini amnya, tulisan jawi terhad penggunaannya dalam kalangan mereka yang berada dalam institusi agama Islam, seperti para ulamak, guru-guru agama dan pegawai tadbir jabatan agama Islam. Malahan, penerbitan Utusan Zaman seminggu sekali dan hanya menjadi sisipan dalam Utusan Malaysia. Ini menandakan merudumnya penggunaan tulisan jawi.

Dalam era globalisasi hari ini, Bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dan Bahasa Antarabangsa. Oleh sebab bahasa Inggeris begitu kerap digunakan, bahasa tersebut telah disebut sebagai " bahasa antarabangsa ", ataupun lingua franca. Walaupun bahasa tersebut tidak ditetapkan bahasa rasmi di banyak negara, bahasa Inggeris merupakan bahasa asing yang paling umum dan sering diajarkan.

Meskipun pengaruh global dari penutur Bahasa Inggeris asli sama ada di media maya atau media cetak contohnya di pawagam, penyiaran, sains dan di Internet pada dekad kebelakangan ini. Bahasa Inggeris sekarang adalah paling banyak bahasa kedua yang dipelajari di dunia, walaupun bahasa lain seperti Perancis dan Sepanyol juga mengekalkan kepentingan di dunia.

Selain itu juga Bahasa Inggeris merupakan subjek wajib di banyak negara, antaranya negara kita ; Malaysia bahasa Inggeris diterapkan sebagai subjek teras dalam sukatan pelajaran di sekolah atau di institusi pengajian tinggi. Bahasa Inggeris juga, merupakan bahasa rasmi untuk perbadanan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ASEAN, Pertubuhan Persidangan Islam dan lain-lain.

Kebanyakan pelajar di seluruh dunia adalah digalakkan untuk belajar sekurang-kurangnya sesetengah Bahasa Inggeris, dan pengetahuan kerja dalam Bahasa Inggeris adalah digalakkan dalam banyak bidang dan pekerjaan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: