7 Rejab 1433H. [MOD] -
KLANG - Terkejut! Demikian perasaan warga emas, A S Chithiralega, 59, apabila mendapati namanya tiada dalam senarai daftar undi walaupun pernah mengundi pada Pilihan Raya Umum yang lalu.
Lebih mengejutkan apabila diisytihar sudah meninggal dunia apabila menyemak namanya dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
“Sebelum ini saya pernah mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU- 11) pada 2004 lalu di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sri Muda.
“Bagaimanapun pada 2008 ketika saya melakukan semakan untuk pengundian pada PRU12, saya terkejut apabila dimaklumkan pihak berkenaan bahawa nama saya gagal dikesan,” katanya.
Bimbang memikirkan perkara itu, Chithiralega meminta suaminya penyemak butiran diri menerusi SPR pada Mac 2012.
“Namun kami turut kecewa apabila dimaklumkan nama saya hilang dari senarai pengundian.
Khuatir dengan perkara itu, saya menghubungi SPR dan terkejut apabila dimaklumkan nama saya telah dikeluarkan daripada senarai pengundian berikutan telah diisytiharkan meninggal dunia.
“Tanpa berputus asa, saya dan suami ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor untuk pemeriksaan lanjut bagaimanapun kami terkejut kerana jawapan yang diterima juga sama iaitu rekod saya tiada kerana sudah meninggal dunia,” dakwanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, beliau mengakui pernah kehilangan kad pengenalan di Telok Intan pada tahun 1987 lalu.
“Ekoran kehilangan kad pengenalan itu, saya sudah membuat laporan polis. Apa yang saya kesalkan hingga kini nama saya diisytiharkan sudah meninggal dunia dan tidak boleh mengundi.
“Oleh itu, saya minta SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memperbetulkan segera kekeliruan dan masalah yang saya ini,” katanya yang membuat laporan Polis berkenaan kemelut itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan Selasa lalu.
Chithiralega dan suaminya Rajamanikam adalah salah pasangan daripada 1,000 lebih yang hadir di majlis pertemuan pemegang Mykad merah bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Samad anjuran Kerajaan Negeri Selangor bertempat di Dewan Datuk Hamzah, MPK, di sini semalam.
Anwar berkata, apa yang berlaku menunjukkan jabatan terlibat gagal menyelesaikan masalah berkenaan sedangkan isu ini bukan remeh.
“Hari ini (semalam) 1,000 lebih yang hadir mempunyai pelbagai masalah berkaitan MyKad dan jumlah itu tidak termasuk lain-lain di luar sana.
“Walau bagaimanapun jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya menang pada PRU13 nanti, kita akan pastikan isu ini diselesaikan dalam tempoh 100 hari,” katanya.
Katanya, jika ikut undangundang sesiapa sahaja yang menetap di negara ini mengikut tempoh tertentu layak diberikan Mykad.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan