7 Rejab 1433H. [MOD] -
BATU PAHAT- Sisa lebihan kayu daripada kilang mungkin tidak bermakna buat sesetengah individu, tetapi ia cukup berbeza bagi Kak Zah yang menjadikan bahan terbuang berkenaan sebagai medium menunjukkan bakat seninya.
Kak Zah atau nama sebenar Hanizah Jumat, 43, mengambil inisiatif menggunakan bahan buangan itu untuk mereka sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh umum bagi menghasilkan kerja tangan yang cukup menarik iaitu model rumah yang membuatkan sesiapa melihatnya terpesona.
Bermula sekadar suka-suka Jelas Kak Zah, awalnya, dia tidak berniat untuk menjual hasil bakat seni itu kerana ia dimulakan sekadar hanya ingin mencuba, namun setelah melihat lebihan sisa kayu yang banyak, mencetuskan idea buatnya.
Katanya, penglibatan secara serius bermula enam tahun lalu, di mana dia memerlukan sesuatu aktiviti untuk dijadikan hadiah kepada rakan karibnya, sebagai kejutan.
Menurutnya, setelah berfikir untuk memberi hadiah yang sesuai dan unik serta lain daripada yang lain, dia terlihat longgokkan kayu yang kemudiannya memberikan idea untuk menghasilkan sesuatu daripada bahan berkenaan.
“Setelah mengambil beberapa keping daripada longgokkan kayu itu, Kak Zah mencuba untuk membina sebuah model rumah dan ternyata dalam masa beberapa hari, model rumah kampung berjaya dihasilkan.
“Setelah memberikan hadiah berkenaan, minat Kak Zah untuk membina model rumah semakin membara yang kemudiannya berjaya menyiapkan beberapa lagi model yang seterusnya, apabila dipuji oleh rakan-rakan lain.
Ketika itu, Kak Zah hanya membuat model ini kerana minat dan suka-suka, selain turut memberikannya kepada kepada rakan-rakan dan juga kenalan rapat sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Kak Zah berkata, dia begitu terkejut kerana model rumah yang dibuat bukannya untuk dijual ini mendapat perhatian seorang guru, yang juga saudara kepada salah seorang kenalannya.
Menurutnya, guru berkenaan turut memuji hasil seni rekaannya dan berminat untuk memilikinya dengan membeli salah sebuah daripada model rumah yang pernah dihasilkannya.
“Guru terbabit juga menasihatkan Kak Zah supaya dapat mengembangkan bakat seni yang ada dengan mengkomersialkannya dan menjadikannya sebagai pendapatan sampingan.
“Selama ini Kak Zah tidak pernah terfikir langsung untuk menjualnya kerana pada pandangan Kak Zah, model rumah yang dibuat ini tidak seberapa hasilnya dan banyak kekurangannya.
Tetapi setelah difikirkan kembali, kata-kata guru berkenaan ada juga benarnya dan Kak Zah telah bertekad untuk menghasilkan model rumah yang lebih kemas dan berkualiti pada rekaan yang seterusnya,” katanya.
Tembusi pasaran Singapura Kini, Kak Zah berjaya menghasilkan lebih daripada 50 buah model rumah dan telah menembusi pasaran di luar Batu Pahat, sehinggalah ke Singapura .
Menurutnya, dia sendiri tidak menduga hasil seninya itu menjadi buah mulut warga negara republik berkenaan.
Jelasnya, walaupun berjaya di Singapura, tetapi karyanya masih lagi belum berjaya menembusi keseluruhan pasaran tempatan kerana selain di Batu Pahat dan kawasan sekitarnya, dia mengakui hanya menerima beberapa tempahan sahaja daripada Kuala Lumpur serta syarikat korporat.
“Sehingga kini saya telah berjaya menghasilkan lebih 50 model rumah, dan kebanyakan pelanggan saya adalah dari Singapura, berbanding pelanggan tempatan ia begitu sedikit kecuali Batu Pahat serta sekitarnya.
“Dalam pembinaan model rumah ini, Kak Zah biasanya menggunakan beberapa bahan yang berasaskan kayu seperti papan dan papan lapis, turut menjadi bahan utama ialah lidi, kotak sebagai bumbung, bunga hiasan, batu karang serta reben terbuang.
Menyiapkan sesebuah model rumah ini akan memakan masa dua hari, manakala jualannya pula Kak Zah meletakkan harga sekitar RM 30 sehingga RM1,500 mengikut saiz juga bahan yang digunakan,” katanya.
Kak Zah berkata, tempahan yang biasa diterima adalah seperti rumah kampung, rumah negeri, surau, masjid, istana, chalet dan juga pondok, selain turut membuat replika dalam bingkai.
Menurutnya, antara model rumah yang menjadi kegemarannya ialah model rumah kampung yang sesuai dengan jiwanya sebagai anak jati kampung di Batu Pahat ini.
“Harapan Kak Zah ialah mendapat bantuan agensi kerajaan supaya dapat mengembangkan industri ini sebagai tarikan kepada Batu Pahat, selain dapat menembusi pasaran seluruh negara,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan