28 Mei 2012

Kerana vokal, sudah 20 hari tiada air

7 Rejab 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Kerana tidak sehaluan dengan seorang orang kuat pengurusan bersama, sudah 20 hari penyewa rumah Abdul Kadir Othman di Kayangan Apartment, Subang dipotong bekalan air.

Yang menakutkan, ia dibuat oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang dilantik sendiri oleh penduduk apartment itu.

Sudah pelbagai cara dibuat oleh beliau namun sehingga kini ia belum berjaya di selesaikan.

Kadir yang datang sendiri ke pejabat Harakahdaily untuk memohon bantuan telah menceritakan bagaimana ia berlaku.

Katanya, perkara sebegini berlaku sejak 5 Mac 2009 lagi apabila buat pertama kalinya meter air rumah beliau dicabut oleh pihak 'pengurusan' JMB.

Ekoran tindakan itu, laporan polis telah dibuat beliau kerana percaya pendekatan yang dibuat oleh pihak 'pengurusan' JMB itu tidak betul dan berlandaskan undang-undang.

Kadir mengaku memang beliau agak 'vokal' dalam mesyuarat-mesyurat agung JMB namun ia tidak sewajarnya menjadi alasan pihak 'pengurusan' itu bertindak bukan-bukan ke atas beliau.

Kadir yang kini tinggal di Kuala Besut, Terengganu telah menyewakan rumahnya di Petaling Jaya.

Pada 9 May, penyewa beliau menghubunginya dan memaklumkan rumahnya tidak ada air kerana meter air telah dipotong.

Kadir bergegas dari rumahnya di Kuala Besut ke Petaling Jaya, dan mendapati memang rumahnya tidak ada air sejak 8 Mei akibat meter air dicabut.

Ketika beliau hubungi pihak 'pengurusan', beliau diberitahu tangkinya bocor dan atas alasan itulah meter airnya dicabut.

Kadir, seorang jurutera bertauliah cuba untuk membaikinya namun tidak dibenarkan oleh pihak pengurusan dengan alasan tidak mahu ia membahayakan keseluruhan apartment yang mereka diami.

Yang menyebabkan Kadir berang adalah semua masalah yang beliau hadapi adalah berdasarkan sikap seorang yang bertindak kononnya sebagai 'pihak pengurusan' padahal beliau hanya suami kepada seorang penting dalam JMB itu.

Untuk menyelesaikan masalah, Kadir telah pergi ke merata tempat termasuk membuat laporan kepada COB Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Beliau juga membuat laporan kepada pejabat-pejabat wakil rakyat yang terlibat termasuk Adun Seri Setia (Nik Nazmi Ahmad), anggota Parlimen Subang (Sivarasa Rasiah) namun sehingga kini sudah 20 hari rumah beliau tidak ada air akibat tindakan JMB ini.

"Perbuatan JMB membiarkan Encik *** mengurus Kayangan apartment semenjak di tubuhkan pada tahun 2009 tanpa kawalan dan yang telus menyusahkan ramai penduduk di situ, tetapi mereka hanya berdiam diri kerana tak mahu diinayakan," tulis Kadir kepada Unit Pesuruhanjaya Bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Menurutnya, sudah banyak aduan dan laporan polis telah di buat terhadapnya dan beliau maseh bermahajalela dan mengurus secara sesuka hati di Kayangan Apartment, padahal beliau adalah hanya di lantik sebagai Penasihat.

"Dengan ini saya menggesa supaya pihak COB dan pihak yang bertanggungjawab agar menyiasat dan mengambil tindakkan sewajar nya untuk membawa pengurusan yang lebih sesuai dan tenteram di apartment tersebut," tulis Kadir kepada COB MBPJ yang salinannya diberikan kepada Harakahdaily.

Harakah Daily

Tiada ulasan: