7 Rejab 1433H. [MOD] -
MARAN - Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Maran berjaya menangkap seekor ular sawa batik betina seberat 100 kilogram dengan panjang enam meter di sebuah kedai menjual tayar terpakai dekat Bukit Kuin, petang semalam.
Pegawai JPAM Maran, Sa’abar Mat Amid berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang pengadu yang juga pekerja kedai itu, Zulkifla Zakaria pada jam 6.30 petang, memaklumkan terjumpa seekor ular sawa dalam kedai berkenaan.
Menurutnya, empat anggota termasuk seorang pegawai bergegas ke lokasi dan mendapati ular sawa terbabit sedang melingkar bersebelahan susunan tayar serta cuba menyerang selepas kehadirannya disedari.
“Anggota mengambil masa kurang satu jam menangkap haiwan itu tanpa mencederakannya dengan mengambil kira faktor keselamatan diri dan kawasan persekitaran.
“Ini kejadian kedua dalam tempoh seminggu. Terdahulu seekor ular sawa jenis sama berukuran panjang 23 kaki (6.9 meter) seberat 85 kilogram berjaya ditangkap di sebuah kandang lembu dekat Kampung Baru Pertanian,” katanya.
Sa’abar berkata, perubahan cuaca tidak menentu selain ancaman pencerobohan habitat asal dan keperluan makanan antara faktor haiwan itu memasuki kawasan penempatan manusia.
Menurutnya, orang ramai yang terserempak atau menjumpai mana-mana haiwan berbisa memasuki kawasan kediaman, premis perniagaan dan kandang ternakan dinasihati supaya tidak mengambil tindakan sembarangan demi keselamatan diri.
“JPAM Maran boleh dihubungi di talian 09-4777 710 dan anggota akan ke lokasi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan