7 Rejab 1433H. [MOD] -
RANTAU PANJANG: Dalam Islam pemimpin yang bercakap bohong tidak layak dipilih sebagai ketua. Begitu juga apabila ada pemimpin yang menafikan perjanjian ditandatangani pada 1975 mengenai royalti petroleum.
Perjanjian berkenaan ditandatangani kerajaan Kelantan dan Petronas ketika itu dengan memberi hak untuk mendapat royalti sebanyak 5 peratus dan perlu dibayar dua kali setahun.
Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud berkata, pelanggaran yang berlaku itu tidak melayakkan rakyat memilih pemimpin Umno menerajui negara pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.
“Orang ramai tidak perlu lagi berfikir panjang kerana sudah terbukti pemimpin Umno dan BN tidak pernah tunai janji berhubung royalti minyak terhadap Kelantan.
“Sedangkan pihak yang merangka undang-undang perjanjian itu masih lagi ada iaitu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas,” katanya pada ceramah di Kampung Pulai, Chica Tinggi malam kelmarin.
Ketika berlangsung pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai 2009 kerajaan negeri mendesak kerajaan pusat membayar royalti minyak kepada Kelantan selepas beberapa telaga minyak ditemui di perairan negeri ini.
Ekoran itu Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan, namun tidak lama kemudian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar wang ehsan melalui Umno menggantikan royalti.
Nasuruddin yang juga Adun Meranti berkata, perjanjian tersebut ditandatangani wakil Petronas ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Nasir.
Menurutnya kerajaan pusat yang diketuai Umno lebih condong ke arah penipuan duit rakyat apabila melelapkan wang royalti milik Kelantan.
“Sekarang dia putar belit dan melesapkan royalti minyak kita, tapi bila dibangkitkan semula di akhirat nanti orang-orang ini akan dipanggil Allah memikul tong minyak dan gas atas kepala,” katanya disambut laungan takbir orang ramai yang hadir.
Sementara itu, pelawak terkenal, Hakim Lokman atau lebih dikenali Bob Lokman memberitahu beliau mengambil keputusan meninggalkan kerjaya lama kerana tidak mahu terus terjebak dengan maksiat dan aktiviti melalaikan.
Menurutnya pada 19 Februari 2011 beliau meninggalkan Umno cawangan Subang dan menyertai PAS kerana yakin parti Islam membawa perjuangan lebih jelas dan nyata bagi mendaulatkan agama.
Turut hadir pada program tetsebut Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff dan Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan