7 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR - Pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) Aliran Ampang Stesen Cheras dan Salak Selatan di sini menjadi saksi detik istimewa lima pasangan pengantin anggota polis yang berarak menaiki pengangkutan awam itu, untuk disandingkan secara serentak pada majlis resepsi di Balai Polis Salak Selatan, semalam.
Kehadiran pasangan mempelai di stesen LRT Cheras jam 1 tengah hari itu nyata menarik perhatian penumpang lain ditambah dengan paluan kompang sepanjang perjalanan ke stesen Salak Selatan.
Sebaik tiba di stesen Salak Selatan, kesemua mempelai menaiki motosikal berkuasa tinggi menuju ke lokasi majlis terletak kira-kira 200 meter.
Pasangan bertuah itu terdiri daripada, Konstabel Mohd Ridzuan Abd Halim, 28 dan Maslinda Masturi, 26; Konstabel Azrul Azuan Asmawi, 29 dan Nurul Shuhadah Nordin, 26; Lans Koperal Bahtiar Bacho, 29 dan Mashitah Mansor, 26; Konstabel Nik Mohd Shahafiz Nik Danya, 29 dan Norhafizah Ishak, 24; serta Konstabel Rizwan Anwar Zakaria, 28 dan pasangannya, Nurshiffa Azmi, 28.
Pasangan Azrul dan Nurul Shuhadah berkata, dia yang sememangnya pengguna tegar LRT gembira dapat menjadi salah satu pasangan yang berarak menggunkana LRT.
Katanya, kelainan tersebut akan menjadi detik istimewa yang tidak akan dilupakan seumur hidup.
“Bangga dapat menjadi sebahagian daripada majlis begini tetapi malu juga kerana jadi perhatian,” katanya.
Bagi pasangan Bahtiar dan Mashitah, mereka tidak menyangka terpilih menjadi pasangan yang terlibat.
Mashitah berkata,dia gembira apabila majlis persandingan dengan idea berarak menaiki LRT itu dapat dikongsi dengan penumpang lain.
Sementara itu, Ketua Operasi Stesen LRT Aliran Ampang, Tarmizi Ansor berkata, acara perarakan itu membuktikan kemudahan pengangkutan awam yang tersedia bukan hanya tertumpu untuk urusan rutin harian, malah lebih daripada itu.
Katanya, lima pasangan tersebut menjadi pengguna awam pertama yang merakamkan detik istimewa itu.
“Kita memang menggalakkan pengguna awam menggunakan kemudahan pengangkutan ini sepenuhnya. Mereka boleh buat permohonan dan kita akan lihat kesesuaian,” katanya
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan