2 Syaaban 1433H. [MOD] -
TAIPING - Hampir 18,000 liter minyak diesel bersubsidi berharga RM50,000 berjaya disita hasil penahanan ke atas sebuah lori tangki di Jalan Trong, di sini, kira-kira jam 2.30 pagi, kelmarin.
Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Taiping, Basaruddin Mohiyuddin berkata, sepasukan pegawai KPDNKK Taiping yang diketuai Mohammad Faizal Ishak telah melakukan serbuan dalam Operasi Banteras Penyelewengan Minyak Diesel.
Menurutnya, berdasarkan aduan orang ramai yang turut memberi maklumat nombor pendaftaran kenderaan dan risikan, pihaknya membuat pemantauan hampir tiga jam di satu lokasi selain mendapati terdapat sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Kita kemudiannya menahan seorang lelaki yang bertugas sebagai pemandu sebelum diminta menyerahkan tempahan penghantaran untuk mengenal pasti muatan yang dibawa.
“Hasil pemeriksaan ke atas lori tangki ini mendapati, hampir 18,000 liter minyak diesel yang disyaki bersubsidi bakal dibawa ke sebelah utara tanah air," katanya.
Basaruddin berkata, kesemua minyak diesel dan lori tangki itu dianggarkan bernilai RM50,000 disita serta disimpan di stor Pejabat PPDNKK Taiping untuk siasatan lanjut.
“Manakala pemandu lori yang ditahan itu diambil keterangan bagi membantu siasatan," katanya. Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
“Sehingga kini, kita telah menerima 112 kes yang melibatkan pelbagai kesalahan, manakala kesalahan bagi penyelewengan minyak diesel adalah sebanyak enam kes yang melibatkan nilai rampasan berjumlah RM130,000.
“Saya menyeru kepada orang ramai supaya menyalurkan terus maklumat kepada kami berhubung penyelewengan minyak diesel ini supaya kegiatan ini dapat dibendung serta mengelakkan ketirisan yang mana merugikan negara,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan