22 Jun 2012

Warga Bangladesh dipenjara 10 bulan kerana bergaduh

2 Syaaban 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang pekerja kontrak warga Bangladesh dihukum penjara 10 bulan kerana terlibat dalam pergaduhan dan mencederakan seorang warga Myanmar awal bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Ali, 44, yang beralamat di Rumah Kongsi Kek Lok Si, Air Itam melakukan kesalahan itu pada 7 Jun lalu kira-kira jam 9 malam. Tertuduh melakukan kesalahan itu di hadapan rumah kongsi yang terletak di atas bukit berdekatan Kek Lok Si, Air Itam.

Tertuduh didapati bersalah apabila dengan niat mendatangkan kecederaan terhadap San Win@Sun Win di lengan sebelah kanan dengan menggunakan sebilah pisau.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar di hadapan Majistret Noor Aini Yusof. Selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu, tertuduh mengaku bersalah.

Noor Aini menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan bermula tarikh tertuduh ditangkap. Muhammad Ali yang didapati melakukan kesalahan bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan penjara selama tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika didapati bersalah.

Sinar Harian

Tiada ulasan: