22 Jun 2012

Susulan insiden mati tertembak, 3 kanak-kanak dihantar ke CIC

2 Syaaban 1433H. [MOD] -

TANAH MERAH – Tiga kanak-kanak yang menjadi saksi kejadian tertembak diri sendiri di Ketereh, Kota Bharu minggu lalu, dihantar ke Children Interview Center (CIC), Pulau Pinang untuk diambil keterangan lanjut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, tiga kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun itu merupakan adik sepupu, rakan dan sepupu rakan mangsa yang merupakan saksi kejadian.

Mereka dihantar ke CIC sejak kelmarin.

“Maklumat kita tidak boleh dedah buat masa sekarang yang pasti polis akan jalankan siasatan secara terperinci dalam semua sudut. Polis juga sedang meneliti bagaimana pistol tersebut diletupkan (diaktifkan) dan berharap keterangan daripada kanak-kanak tersebut dapat membantu,” katanya.

Jalaluddin berkata demikian kepada pemberita pada majlis High Profile Policing, Walk Bout bersama masyarakat di bandar Tanah Merah, semalam.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud dan Ketua Jajahan Tanah Merah, Zamri Ismail.

Jalaluddin diminta mengulas kenyataan bapa mangsa, Noor Hisham Abdul Aziz, 50, yang mendapat maklumat polis bahawa tiada kesan jari milik anaknya pada pistol terbabit.

Noor Hisyam berkata, beliau dimaklumkan anggota Bahagian Forensik, siasatan yang dilakukan mendapati tiada kesan jari milik Muhammad Faris Faizal pada pistol digunakan dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, kes tersebut disiasat mengikut seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian.

“Sebarang tindakan terdapap anggota polis yang juga pemilik pistol berkenaan akan ditentukan selepas selesai siasatan. Kita juga sudah menghantar laporan kepada Ketua Polis Johor untuk tindakan tatatertib selepas ini,” katanya.

Dalam kejadian itu, masyarakat dikejutkan dengan berita seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut, Mohd Faris Faisal Hisyam maut selepas tertembak diri sendiri menggunakan pistol yang disangka pistol mainan di rumah neneknya di Ketereh sebaik selesai menyambut hari jadinya.

Dalam kejadian 9 malam itu bapa saudaranya, Helmi Ghazali berumur 31 tahun yang kebetulan berada di belakang mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian bahu.

Kejadian bermula apabila mangsa, Mohd Faris menjumpai pistol jenis Walter, yang disimpan oleh bapa saudaranya yang merupakan seorang anggota polis di bawah meja.

Sinar Harian

Tiada ulasan: