22 Jun 2012

Kes samun: Geng Jais Beruang tumpas

2 Syaaban 1433H. [MOD] -

JASIN – Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun dikenali Geng Jais Beruang selepas tertangkapnya lima individu di tiga lokasi berasingan termasuk ketuanya setelah melakukan samun di sebuah rumah di Jalan Peah Said, Kampung Sungai Dua, Asahan, Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Shahidi Abdullah berkata, penahanan lima suspek berusia 22 hingga 43 tahun itu dalam tempoh kurang 48 jam, sekali gus berjaya menyelesaikan banyak kes jenayah yang berlaku di Melaka, Negeri Sembilan dan Tangkak, Johor.

Menurutnya, dalam kejadian di Asahan kira-kira jam 1.45 petang Isnin lalu, dua suspek iaitu ketuanya, dikenali sebagai Jais, 35, bersama seorang lagi ahli melakukan samun menggunakan parang.

"Mereka mengikat seorang wanita warga emas berusia 74 tahun dan cucu lelakinya, 19, sebelum melarikan pelbagai barangan milik mangsa termasuk dua utas gelang tangan, dua bentuk cincin, wang tunai RM180, telefon bimbit dan sebuah motosikal, keseluruhannya bernilai RM10,000.

“Semua suspek ditangkap di tiga lokasi berasingan iaitu dua di Asahan, dua di Tangkak dan seorang suspek lagi ditahan di Sungai Mati Muar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jasin, semalam. Shahidi berkata, siasatan awal mendapati tiga daripada suspek bekerja sebagai buruh dan pemandu lori, manakala dua lagi tidak bekerja.

"Semuanya positif dadah jenis heroin dan mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah serta dadah di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sejak dua tahun lalu.

"Jais baru dibebaskan dari Penjara Simpang Renggam, Johor di bawah Ordinan Darurat pada 21 Februari lalu dan kembali aktif melakukan pelbagai jenayah termasuk samun bersenjata," katanya.

Menurutnya, kumpulan itu mula aktif sejak Februari lalu dan melakukan jenayah dengan menggunakan senjata seperti parang panjang, pemutar skru serta pisau.

"Semua suspek direman bermula semalam hingga 26 Jun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ketika menyamun.

Sinar Harian

Tiada ulasan: