2 Syaaban 1433H. [MOD] -
SAYA terbaca seruan Khalid A. Samad, anggota Parlimen PAS Shah Alam menyeru supaya UMNO kembali kepada perjuangannya yang asal.
Saya tidak ikut secara terperinci seruan itu. Tetapi apakah perjuangan asal UMNO itu yang elok yang UMNO patut kembali kepadanya?
UMNO itu ditubuhkan atas kejayaan Dato Onn Jaafar menggagalkan Malayan Union dan berjaya mengembalikan kedaulatan raja-raja Melayu sesuai dengan perkembangan politik di Tanah Melayu.
Perjuangan utama UMNO yang asal itu ialah Hidup Melayu. Dan yang tersirat atas pembentukan UMNO itu ialah untuk mencabar perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu yang dipelopori oleh Partai Kebangsaan Melayu Malaya pimpinan Dr. Burhanuddin al-Hilmy, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan lain-lain.
Perjuangan yang mereka pelopori itu mendapat sambutan orang awam yang bekerja sendiri atau yang tidak makan gaji dengan penjajahan British. Jumlah orang awam yang bekerja sendiri itu jauh lebih ramai dari rakyat yang makan gaji dengan kerajaan penjajah.
Antara pegawai tinggi Melayu yang makan gaji itu ialah Dato Onn, Dato Panglima Bukit Gantang, Nik Ahmad Kamil dan lain-lain. Mereka tidak menyengutukan diri dengan pejuangan kemerdekaan itu. Lalu mereka pun menubuhkan UMNO dengan slogan Hidup Melayu.
Ketika itu tidak salah menyuarakan Hidup Melayu kerana rakyat terbanyak masa itu adalah Melayu. Tiada berbangkit Hidup Melayu itu sebagai satu semangat perkauman.
Hidup Melayu tidak membawa erti kemerdekaan. Melayu boleh hidup di zaman Peringgi. Ia hidup zaman Belanda dan ia hidup juga zaman Inggeris. Hidup Melayu boleh hidup bersama penjajah dan merdeka pun boleh. Tidak merdeka tak apa, merdeka pun tak apa.
Maka penjajah tidak curiga dengan penubuhan UMNO. Bila British bertindak mengharamkan PKMM dan lain-lain parti yang menyokong tuntutan kemerdekaan, Mat Saleh membenarkan UMNO terus dan mengangkat pemimpin-pemimpin UMNO menjadi menteri-menteri dalam kerajaan persekutuan dan Menteri-Menteri Besar.
Yang elok dalam perjuangan Hidup Melayu itu satu saja iaitu menyelamatkan takhta raja-raja Melayu. Ia tidak dibantah oleh majoriti orang Melayu. Tetapi Bahasa Melayu, kebudayaan orang Melayu, agama orang Melayu iaitu Islam tidak mereka pedulikan.
Kalau disuruh UMNO balik kepada perjuangan asalnya iaitu Hidup Melayu saja adalah sesuai dengan kemajuan masyarakat majmuk sekarang? Perjuangan itu pada masa ini sudah jadi perkauman. UMNO kini sudah sinonim dengan perkauman. Jika ia kembali kepada perjuangan asalnya, Hidup Melayu, maka menyuruh ia bertambah perkauman.
Bila Dato Onn, Dato Gantang dll keluar meninggalkan UMNO, barulah UMNO memadamkan slogan Hidup Melayunya menggantikannya dengan UMNO. Bila Tunku dan Tun Razak beralih memperjuangkan kemerdekaan, barulah orang Melayu yang menuntut kemerdekaan dulu beralih menyokong UMNO. Tetapi ia menekankan kedaulatan raja dan kemerdekaan saja. Bahasa Melayu, kebudayaan Melayu dan agama orang Melayu tidak diberatkan.
Selepas 54 tahun merdeka, Melayu pun tak berapa hidup, merdeka pun tak berapa merdeka, demokrasi pun tak demokrasi. Semuanya hanyut. Yang ada dalam UMNO ialah orang cari makan dan mencari kekayaan sesama pemimpinnya dan kroni masing-masing.
Kata Tengku Razaleigh dan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, UMNO sekarang sudah tidak lagi macam zaman Tunku dan Tun Razak. UMNO sekarang adalah parti politik yang rosak.
Bila Khalid suruh UMNO balik seperti dulu, nak balik ke mana? Ke zaman Dato Onn, Hidup Melayunya sekadar mendaulatkan raja-raja. Merdeka tidak ada, dan jauh sekali dengan cabang perjuangan kebangsaan Melayu yang lain. Kedaulatan Raja-Raja sudah terjamin. Tidak ada rakyat Melayu, Cina, India dan lain-lain mahu derhaka macam Hang Jebat. UMNO tidak kembali ke zaman dulu pun tak mengapa.
Kalau ikut kemahuan Hidup Melayu, zaman ini ia seperti menghidupkan lagi perkauman.
Kalau ke zaman Tunku dan Tun Razak, merdekanya cacamarba. Perjuangan bahasa dan kebudayaannya seperti tidak ada.
UMNO sekarang sudah tidak dapat diikut. Kalau ia kembali ke zaman dulu termasuk zaman Tunku, tidak juga banyak yang elok yang dapat diikut. Sekarang ia tidak dapat dibanggakan. Dulu pun tidak banyak yang hendak dibanggakan.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan