22 Jun 2012

Niat murni dibalas tuba

2 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Niat murni seorang abang ipar yang ingin melihat adiknya berubah daripada terus bersikap kurang ajar terhadap keluarga terutama kedua ibu bapa dengan menasihatinya bertukar menjadi mimpi ngeri setelah dia diugut bunuh dalam satu kejadian di kediaman mereka di Kampung Jeram, Manir, di sini, Mei lalu.

Bimbang keselamatan dirinya dan keluarga terancam disebabkan sikap panas baran adiknya itu, mangsa, Rozman Muktar, 28, mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Manir.

Susulan laporan dibuat, tertuduh, Mohd Mazuandy Mohd Nor, 31, di tangkap dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kecederaan terhadap abang iparnya di kediaman mereka di Kampung Jeram, Manir, 14 Mei lalu kirakira jam 10.45 malam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Razatul Kalsum Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, semasa berada di rumah mereka, Mohd Mazuandy telah mengacukan sebilah pisau lipat berwarna perak ke arah abang
iparnya dan mengugut hendak membunuh mangsa.

Tindakan itu disebabkan dia tidak suka mangsa menegurnya kerana sering mengamuk dan merosakkan harta benda di dalam rumah setiap kali meminta wang daripada kedua ibu bapanya dipercayai untuk membeli dadah jenis morfin.

Sebelum ini pun, Mohd Mazuandy pernah mengugut orang tuanya sekiranya tidak memberikan wang berjumlah ratusan ringgit dengan cara mengacukan pisau lipat itu.

Bimbang keselamatan mereka terancam, mangsa membuat laporan dan susulan laporan itu, Mohd Mazuandy ditangkap pada keesokan harinya iaitu 15 Mei lalu, kira-kira jam 1.20 petang di kediaman mereka.

Sinar Harian

Tiada ulasan: