2 Syaaban 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU - Dua anggota polis tercedera apabila motosikal yang ditunggangi mereka terbabas akibat dihimpit oleh sebuah kereta penjenayah di Kampung Sungai Gali, Beris Lalang, Bachok malam kelmarin.
Anggota tersebut, Koperal Roslizan Mat Nor, 45, cedera parah, manakala rakannya Konstabel MohdIsa Mat Zubir, 24, hanya cedera ringan dalam kejadian jam 10 malam itu.
Akibat kejadian itu mereka pengsan dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bachok sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II Kota Bharu dan mereka kini dilaporkan stabil.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata, kejadian berlaku ketika anggota tersebut bersama dua lagi rakannya sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan tali air di kampung berkenaan sebelum terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa.
”Anggota berkenaan cuba menghampiri kereta tersebut sebelum pemandunya bertindak merempuh bahagian hadapan motosikal yang ditunggangi Roslizan dan Mohd Isa. ”Akibat rempuhan itu, kedua-dua anggota kemudian terjatuh bagaimanapun Roslizan cuba mengejar kereta terbabit kemudian sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu suspek telah menghimpit motosikalnya menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua anggota itu kemudian tercampak berhampiran tali air dan kereta yang dipandu suspek terus memecut meninggalkan tempat kejadian.
Katanya, dua anggota lain yang turut berada di tempat kejadian kemudian meminta bantuan orang awam untuk menghantar mangsa ke klinik berhampiran.
”Kita sedang mengesan suspek tersebut untuk siasatan lanjut dan difahamkan, suspek terbabit pernah terlibat dengan beberapa kes samun dan curi kenderaan,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan