22 Jun 2012

Peniaga rugi hampir RM4,000

2 Syaaban 1433H. [MOD] -

BANDAR RAUB - Seorang peniaga terpaksa menanggung kerugian apabila mesin penapis air (water dispenser) yang diletakkan di sekitar bandar sering menjadi sasaran pencuri yang memecahkan mesin terbabit untuk melarikan wang di dalamnya.

Lee Cheang Son, 40-an, berkata, dalam tempoh dua bulan, sudah empat kali mesin itu dipecahkan dan dia kerugian hampir RM4,000.

Menurutnya, setakat ini dia meletakkan 15 mesin sama di sekitar daerah Raub, 15 di Bentong, 10 di Lipis dan satu di pekan Benta.

“Saya hadapi masalah sama di setiap kawasan dan kekerapan wang daripada mesin ini dicuri semakin membimbangkan. “Laporan sudah dibuat dan maklumat berkaitan individu terlibat juga sudah disampaikan kepada polis untuk tindakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Cheang Son berkata, bagi memastikan perkara sama tidak berulang, dia terpaksa memasang besi tebal dan kunci berkualiti yang lebih mahal.

Katanya, kos membuat besi dan kunci itu pula lebih RM1,000 yang dipasang pada semua mesin penapis air miliknya.

“Difahamkan kecurian ini dilakukan beberapa individu dengan cara memotong besi dan kunci yang dipasang pada mesin ini sebelum mengumpil tempat simpanan wang syiling.

“Jika keadaan begini (kecurian) berterusan saya akan terus menanggung kerugian,” katanya.

Menurutnya, perniagaan menjual air itu tidaklah mendatangkan keuntungan yang banyak pada satu-satu masa, tetapi ia adalah sumber rezekinya untuk menampung perbelanjaan keluarganya dan berharap kejadian itu tidak berlaku lagi selepas ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: