2 Syaaban 1433H. [MOD] -
JERTIH: Warga Bangladesh yang menjadi mangsa runtuhan pentas dalam pembinaan di Padang Astaka di sini semalam, hanya mampu memikirkan kematiannya ketika dihempap runtuhan binaan itu.
“Saya ingat mati bila batu jatuh. Saya tak sangka masih hidup bila dapat diselamatkan. Saya mengajak dua lagi rakan yang sama-sama terperangkap mengucap kalimah Syahadah.
“Saya sangkakan kami akan mati, tetapi bersyukur apabila kami diselamatkan walaupun separuh tubuh dilitupi simen yang tumpah,” katanya ketika ditemui di Wad Kecemasan Hospital Besut, semalam.
Untuk lebih gambar sila layari BH Digital di http://subscription.nstp.com.my/ Zilo yang sudah lima tahun bekerja kontrak di negara ini, berkata ketika kejadian jam 1 tengah hari itu, dia sedang menyapu simen pada bahagian tangga pentas, apabila tibatiba struktur konkrit pentas itu runtuh menimpanya.
Akibat runtuhan itu, Zilo dan seorang rakannya, Rajo, 42, cedera parah pada pinggang, kaki dan cedera pada mata kerana dimasuki simen serta pasir. Seorang lagi pekerja yang hanya dikenali sebagai Munawir, 20, warga Indonesia cedera pada pinggang.
Tiga lagi mangsa dikenali sebagai Ari Ramlan, 31, dan Fendi, 20, dari Surabaya, Indonesia serta Suksan Ali, 25, dari Bangladesh, cedera ringan.
Munawir yang turut terperangkap kira-kira dua jam di bawah runtuhan bersama Rajo dan Zilo, berkata dia sukar bernafas sebaik dihempap dan badannya diliputi simen serta pasir.
“Saya ingat akan mati dan tak boleh bernafas sebab simen dan pasir hingga ke pinggang. Saya menjerit minta tolong hingga pengsan kerana terlalu lemah sebelum diselamatkan jam 3.30 petang,” katanya.
Munawir berkata, sebelum kejadian, dia dan rakan sudah terasa ada sesuatu tidak kena dengan struktur binaan apabila sebatang konkrit beralih kedudukan.
“Kami sedang meratakan simen pada tangga apabila dihempap sekeping konkrit dan simen yang masih basah,” katanya yang tidak dapat menggerakkan pinggangnya kerana sakit.
Ketiga-tiga mangsa diselamatkan sepasukan 25 anggota Bomba dan Penyelamat Jertih dan Kampung Raja. Pasukan penyelamat menyembur air tekanan tinggi untuk memecahkan simen yang mulai keras daripada mencederakan tubuh mangsa.
berita harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan