22 Jun 2012

Kes curi motorsikal: Empat pelajar Geng Suria dicekup

2 Syaaban 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Empat pelajar sekolah termasuk 16 yang lain dipercayai anggota Geng Suria dicekup polis sekali gus berjaya menyelesaikan 99 kes curi motosikal dan 51 kes ragut yang didalangi kumpulan terbabit.

Mereka yang ditahan berusia 15 hingga 23 tahun dipercayai bergiat aktif mencuri motosikal di sekitar Iskandar Malaysia dengan menyasarkan aktiviti mencuri sekurang-kurang tiga motosikal sehari.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kejayaan menumpaskan sindiket curi motosikal itu susulan penahanan seorang lelaki berusia 21 tahun di Taman Suria, Majidee di sini, jam 6 petang, 13 Jun lalu. Susulan tangkapan itu, polis berjaya menahan 19 lelaki lagi di beberapa lokasi berasingan yang dipercayai aktif melakukan jenayah mencuri motosikal dan ragut di sekitar daerah ini.

“Dalam operasi itu, polis juga berjaya merampas 22 buah motosikal curi dan pelbagai alat ganti motosikal yang dileraikan untuk dijual,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam. Mohd Mokhtar berkata, kesemua penjenayah itu yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini ditahan reman hingga esok untuk membantu siasatan lanjut kes berkenaan dan pihaknya yakin berjaya menyelesaikan 99 kes curi motosikal dan 51 kes ragut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun serta boleh dikenakan denda,” katanya.

Sementara itu, mengulas kes seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang ditemui mati selepas secara tidak sengaja ditinggalkan di dalam kereta selama beberapa jam oleh ibunya, Mohd Mokhtar berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001.

Polis masih belum lagi merekodkan Mohd Mokhtar (dua, kiri) melihat rampasan motor yang dicuri Geng Suria. keterangan daripada ibu mangsa yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Uda 2 dan sedang menunggu keputusan bedah siasat kes berkenaan.

Dalam kejadian jam 7 pagi kelmarin, mangsa ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kereta selama beberapa jam oleh ibunya yang berusia dalam lingkungan 40-an di tempat letak kereta sekolah berkenaan.

Pada kebiasaan, ibu mangsa menghantarnya ke tadika, bagaimanapun bergegas ke sekolah untuk mengimbas kad perakam waktu bekerja dan hanya menyedari mengenai kejadian itu jam 1.30 petang dan ketika itu anaknya tidak lagi bernyawa.

Sinar Harian

Tiada ulasan: