2 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki berlagak ‘hero’ dengan sanggup membelasah seorang warga emas tanpa mangsa mengetahui sebab musababnya dalam satu kejadian di sebuah kedai runcit di Kampung Gong Kijang, di sini, minggu lalu.
Bagaimanapun, perbuatan biadab tertuduh, Wan Azman Wan Ibrahim, 33, dari Kampung Sri Gong Kijang, menerima pembalasan setelah dijatuhi hukuman penjara selama sebulan dan dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Lebih malang, dia yang juga dikenal dengan nama Man Toba terpaksa meringkuk di penjara dua bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.
Hukuman terbabit dijatuhkan oleh Majistret Noradila Ab Latif selepas Man Toba mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa, Ramlan A Rashid Musa, 69, di kedai runcit milik mangsa di Kampung Gong Kijang, di sini, 14 Jun lalu kirakira jam 3.30 petang.
Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Razatul Kalsum Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa sedang berada di kedai runcit miliknya sebelum didatangi Man Toba yang terus menendang mukanya menyebabkan mangsa rebah di atas jalan tar di hadapan kedainya.
Tidak puas dengan itu, Man Toba terus menerus menendang dan memukul mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami luka berdarah di bahagian kening kiri, luka di tangan kanan, bengkak di bahagian mata kiri dan sakit di rusuk kiri.
Melihatkan keadaan mangsa yang tidak bermaya, Man Toba terus melarikan diri dan mangsa yang mengakui teraniaya kerana langsung tidak tahu punca dia diperlakukan sebegitu rupa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, di sini.
Susulan laporan dibuat, Man Toba akhirnya ditangkap pada hari kejadian, lebih kurang jam 5.10 petang di kediamannya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan