22 Jun 2012

[PENTING] Jika Kereta Anda Dilanggar Dari Belakang, Jangan Cepat Turun Kereta..

2 Syaaban 1433H. [MOD] -

Kisah ini terjadi sekitar jam 9 malam tadi setelah diminta oleh isteri yang sedang sarat mengandung untuk membelikan nasi goreng. Terbayang wajah isteri yang sedang kelaparan di rumah, saya memecut laju sedikit. Gambar hiasan.

Setibanya di hadapan Petronas SKVE menghala ke Shah Alam/Banting, sebuah kereta Wira menghentam kereta saya dari belakang. "Bam!" Lantas saya berhenti ke tepi. Keadaan agak gelap walaupun banyak kereta sedang melalui lebuhraya tersebut.

Seorang lelaki berbangsa India turun dari kereta tersebut yang berhenti di belakang. Lagak jalannya macam gengster dengan tubuhnya yang besar. Saya buka tingkap dan tanya "Apa sudah jadi?"

"Brek tada makan la, bang!" katanya sambil memandang pada belakang kereta saya. Saya masih berada di dalam kereta.

"Macam mana ni, bang? teruk ni.. kemek ni.." katanya sambil menggaru-garukan kepalanya.

Saya jadi serba salah juga, nampak muka mamat ni macam betul-betul bersalah. Namun saya juga teringat kisah-kisah 'langgar dan rompak' sebegini. Untuk keselamatan saya masih bertahan di dalam kereta.

"Bang, boleh turun tengok tak kalau boleh setel kat sini ke?" umpan mamat tu.

Saya pun jadi tidak menentu, antara mahu turun dan lihat atau teruskan berada di dalam kereta.

"Mari tengok ni bang, kemek jugak ni. Kena settle ni.." tambah mamat tersebut.

Saya pun matikan enjin kereta. Tarik nafas dalam-dalam dan beristighfar. Kemudian saya buka pintu perlahan-lahan. Lain macam pula rasa di dalam hati ni, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Saya terus tutup pintu kereta dan meminta nombor telefon mamat tersebut.

Pada mulanya mamat itu macam gabra semacam untuk berikan no telefonnya kemudian dia minta saya tunggu sekejap dan dia terus ke keretanya di belakang.

Setelah itu dia berikan no telefon kepada saya untuk saya salin. Katanya itu nombor kawannya seorang lagi yang berada di dalam kereta.

"Besok saya call" kata saya.

"Tak nak turun tengok ke ni, bang?" tanya mamat tersebut.

Saya gelengkan kepala dan terus memecut ke hadapan. Saya perasan ada sebuah kereta Proton Perdana berhenti di hadapan sedikit dari tempat saya berhenti tadi.

Setelah sampai di restoran di Taman Equine, saya turun dan terus memeriksa belakang kereta saya.

Apa yang saya dapati ialah LANGSUNG TIADA SEBARANG KEROSAKAN!

Menggeletar lutut setelah mengetahui situasi yang amat menakutkan berlaku sebentar tadi. Alhamdulillah tiada sebarang perkara yang buruk terjadi.

Kepada rakan-rakan, semoga kisah ini menjadi pengajaran kepada kita termasuk saya sendiri. Nyawa lebih penting dari kerosakan kereta yang tidak seberapa.

Memang kita akan berasa geram, marah atau bengang sebab yang dilanggar itu adalah sebuah kenderaan yang kita bayar setiap bulan. Tetapi pertimbangan juga HARUS diberikan kepada keselamatan nyawa sendiri.

Semoga menjadi iktibar kepada kita semua.

Seri Kembangan, 10:15 malam, 1 jam setelah kejadian, 18 Jun 2012 -carigold

4 ulasan:

Khumaera Ismail aka Mariam Ismail berkata...

seri kembgn? Allah..takutnya.selalu lepak sna rumah sis.memang kena berjaga2.

omaq berkata...

Salam tuan, Semalam 22hb Jun 2012 jam lebih kurang pukul 3.30pm saya juga mengalami satu pengalaman yang cukup menakutkan. Ianya berlaku di persimpangan lampu isyarat Setiawangsa di mana sebuah kereta yang dinaiki oleh seoran wanita dirompak oleh dua orang yang menunggang motosikal.

Kejadian berlaku di hadapam mata saya sendiri bilamana kereta sedang berbaris menunggu lampu bertukar hijau, datang sebuah motosikal Yamaha 125Z merah yang dinaiki oleh dua orang pemuda Melayu berumur dalam lingkungan 20an. Mereka berhenti di sisi kiri kereta tersebut dan memecahkan cermin tepi dan meragut beg yang terletak di atas seat sebelah pemandu.Pemandu perempuan tersebut hanya mampu menjerit. Saya dapat melihat dengan jelas peristiwa tersebut kerana saya berada terlalu dekat tetapi tidak dapat membantu kerana ianya berlaku dengan begitu pantas.

Mulanya saya sangkakan mereka sedang bergaduh tapi bila saya tengok lelaki tersebut merampas beg dan terus memecut baru saya sedar ianya satu rompakan.Tiada siapa dapat mengejar penjanayah tersebut kerana pada waktu itu lampu isyarat merah.

Pengajaran daripada kejadian tersebut,pemandu terutama golongan wanita yang memandu bersendirian janganlah meletak beg yang mempunyai barangan berharga atau wang di tempat duduk sebelah pemandu.

Nor Azrin berkata...

Alhamdulillah syukur Allah SWT selamatkan Dr. drpd bahaya jenayah licik yang berleluasa berlaku kat negara kita sekarang ni..Kisah ni mesti saya ambil sebagai iktibar sbb saya ni pun selalu drive alone ke tempat kerja & balik kampung yg jauh..nauzubillah..

Tanpa Nama berkata...

tip saudara bermanfaat....